Konsert BTS di Malaysia, peminat risau harga tiket mahal
Madiha Abdullah
Disember 30, 2018 10:15 MYT
Disember 30, 2018 10:15 MYT
PEMINAT kumpulan K-Pop popular BTS tentunya cukup teruja selepas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengesahkan perbincangan sedang dilakukan untuk membawa kumpulan itu ke Malaysia.
Di sebalik keterujaan itu, peminat menyuarakan kebimbangan tentang harga tiket yang berkemungkinan sangat tinggi.
Ia diluahkan secara tidak langsung menerusi komen-komen bernada kecewa seperti di bawah.
Kebimbangan itu ada asasnya kerana majoriti peminat BTS adalah kalangan remaja yang masih menuntut, sama ada di institusi pengajian tinggi atau di bangku sekolah.
Tentunya ini akan menjadi faktor penting yang perlu diberi tumpuan oleh penganjur untuk memastikan pengikut setia mereka dapat hadir, sekali gus menjadikan konsert itu acara yang berjaya.
Ketika ditemu bual secara eksklusif dalam Program Khas sempena Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu 2018 pada Sabtu, Syed Saddiq memaklumkan membawa BTS ke negara ini adalah salah satu usaha dalam memastikan Malaysia sentiasa di hadapan dalam 'entertainment tourism'.
"Perbadanan Stadium Malaysia sedang memuktamadkan proses untuk membawa mereka ke sini.
"Bagi saya ia perlu dalam merancakkan aktiviti di Malaysia, terutamanya dalam industri kreatif agar tidak berada di bawah Indonesia, Thailand dan Singapura," katanya.
#artis
#BTS
#hiburan
#K-pop
#konsert
#Korea Selatan
#Malaysia
#muzik
#remaja
#Syed Saddiq Syed Abdul Rahman