Konsert berjalan lancar tapi Siti rasa telinga macam kena tumbuk?
Gempak
Mac 4, 2019 12:20 MYT
Mac 4, 2019 12:20 MYT
PENYANYI nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza akui sukar untuk menyesuaikan diri dengan memakai ear monitor ketika mengadakan persembahan di konsert Dato' Sri Siti Nurhaliza On Tour.
Jelasnya, sudah menjadi kelaziman untuk Siti mendengar muzik ketika mengadakan persembahan tanpa alat bantuan namun demi menjanjikan persembahan terbaik buat peminatnya, Siti sanggup.
"Setiap hari daripada sesi latihan Aubrey Suwito sentiasa tegur kalau ada kekurangan daripada segi pitching.
"Pertama kali pakai ear monitor memang ada kesukaran.
"Malah, ada antara artis antarabangsa seperti Michael Jackson pun memberitahu dia rasa seperti kena tumbuk kalau pakai ear monitor.
"Itulah yang saya rasa sebenarnya sebab telinga rasa terlalu padat. Tapi saya cuba sesuaikan ikut keselesaan saya.
"Saya sebenarnya sudah terbiasa dengan muzik pakai telinga biasa, cuma disebabkan situasi di kawasan tempat saya membuat persembahan misalnya konsert, untuk elakkan bunyi melantun dan mahu lebih jelas, saya perlu pakai," katanya kepada Gempak.
Dua siri jelajah konsert Dato' Sri Siti Nurhaliza On Tour di Jakarta dan Singapura telah berlangsung dengan cemerlang.
Tinggal lagi konsert Dato' Sri Siti Nurhaliza On Tour di Axiata Arena, Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 16 Mac depan.
Pujian demi pujian diterima daripada peminat daripada segala medium malah Siti juga tidak angkuh untuk menerima komen dan melakukan penambahbaikan.
Jom lihat beberapa momen menarik yang dikongsikan penonton konsert Dato' Sri Siti Nurhaliza On Tour di Singapura baru-baru ini.