Konsert AR Rahman tinggalkan kesan mendalam untuk rakyat Malaysia
Bernama
Februari 6, 2023 14:25 MYT
Februari 6, 2023 14:25 MYT
KUALA LUMPUR: Walaupun lebih seminggu berlalu sejak maestro muzik legenda AR Rahman mengadakan konsert yang menakjubkan di Kuala Lumpur, persembahannya masih menjadi bualan di media sosial dengan pelbagai ulasan dibuat mengenai kandungan konsert itu.
Kebanyakan mereka secara umumnya memuji persembahan hebat komposer muzik India yang memenangi Oscar itu dalam konsert 'AR Rahman - Secret of Success - Live in Malaysia 2023' yang diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 28 Jan.
Ramai berkata konsert mega itu mendedahkan sisi berbeza komposer muzik India itu yang jarang disaksikan oleh peminat.
"Konsert itu dihadiri 72,137 penonton, dengan kira-kira 18,000 warga asing turut hadir," kata Pengasas dan Pengerusi DMY Creation Datuk Mohamed Yusoff, selaku penganjur konsert itu menerusi catatan di Instagram, baru-baru ini.
Beliau berkata konsert itu disebut-sebut sebagai yang terbesar melibatkan artis India ke Malaysia, adalah sesuatu yang patut dibanggakan rakyat Malaysia kerana mereka telah menyumbang dalam meningkatkan ekonomi domestik negara melalui penjualan tiket.
Kira-kira 4,000 orang telah bekerja tanpa mengenal penat lelah untuk memastikan konsert itu berjaya, di mana skrin besar beresolusi 24k diletakkan di kedua-dua belah pentas, membolehkan peminat menyaksikan pemandangan konsert yang menakjubkan itu, katanya.
Dianjurkan sempena sambutan 30 tahun perjalanannya dalam industri muzik, konsert AR Rahman itu diserikan lagi dengan kehadiran Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Konsert itu menandakan kepulangan komposer muzik itu ke Kuala Lumpur selepas enam tahun, turut menampilkan persembahan istimewa penyanyi nombor satu Malaysia Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin yang berduet dengan penyanyi India, Haricharan Seshadri menerusi lagu 'Munbe Vaa'.
-- BERNAMA / Sankara Subramaniam A/L Venkatachalam