Konsert 'AR Rahman Live in Kuala Lumpur 2024' di SNBJ 27 Julai ini

Astro Awani
Mei 2, 2024 18:57 MYT
AR Rahman dijangka 'beraksi' di pentas itu lebih dua jam, bermula 8 malam. - Gambar/ FB A.R. Rahman
KUALA LUMPUR: Selepas lebih setahun, penyanyi dan komposer popular dari India, AR Rahman, kembali ke Malaysia untuk mengubat rindu peminat menerusi konsert AR Rahman Live in Kuala Lumpur 2024 di Stadium Nasional Bukit Jalil, pada 27 Julai ini.
Pengarah Urusan Star Planet Datuk Alan Foo berkata, ikon muzik itu dijangka 'beraksi' pada pentas itu lebih dua jam, bermula 8 malam.
"Saya teruja untuk membawa AR Rahman ke Malaysia untuk konsert itu. AR Rahman Live in Kuala Lumpur 2024 ini merupakan satu acara penting untuk Star Planet kerana kami meneruskan misi untuk memberikan pengalaman hiburan kepada penonton Malaysia.
"Muzik Rahman merentasi sempadan dan menyentuh hati jutaan orang di seluruh dunia, dan kami berbesar hati untuk menyajikan pengalaman luar biasa ini kepada peminat bagi menyaksikan kegemilangan beliau di atas pentas," katanya dalam sidang media baru-baru ini.
Sementara itu, Pengarah Star Planet Datuk R Rajendran berkata, konsert itu akan menampilkan gabungan genre muzik, mempersembahkan lagu terkenal Rahman di samping gubahan baharu.
Tiket bagi konsert AR Rahman Live in Kuala Lumpur 2024 boleh didapati mulai 2 petang pada 8 Mei 2024 secara dalam talian.
Kali terakhir komposer legenda itu 'beraksi' di Malaysia adalah pada Januari 2023 menerusi Konsert AR Rahman - Secret of Success - Live in Malaysia 2023 yang dibanjiri lebih 60,000 peminat.
Lebih istimewa, konsert itu turut menampilkan penyanyi tersohor, Datuk Seri Siti Nurhaliza berduet bersama AR Rahman menerusi lagu Tamil klasik berjudul Munbe Vaa.
#Stadium Nasional Bukit Jalil #AR Rahman #AR Rahman Live in Kuala Lumpur 2024 #ikon muzik
;