Konsert amal di Jordan: Faizal Tahir, Muadz Dzulkefly mahu beri semangat positif
Syafique Shuib
Julai 1, 2015 18:54 MYT
Julai 1, 2015 18:54 MYT
Muzik bukanlah sekadar untuk hiburan semata-mata. Sebaliknya ia mempunyai kekuatan tersendiri untuk memberikan sokongan moral dan semangat positif.
Ia juga mendorong penyanyi terkenal Faizal Tahir dan Muadz Dzulkefly untuk menyertai konsert amal bagi membantu mereka di kem pelarian rakyat Syria dan Palestin di Jordan bertemakan '1Moment4Them'.
Mereka akan bertolak ke sana pada 27 Julai dan konsert akan diadakan pada 1 Ogos.
Faizal berkata ia merupakan satu peluang keemasan yang tidak dapat ditolak.
“Saya sering mencari peluang untuk membantu. Saya akan lapangkan masa untuk kerja-kerja amal seperti ini.
“Misi utama saya ke sana adalah untuk memberitahu mereka yang berada di kem pelarian bahawa masih ada yang kisah pasal mereka. Saya mahu memberi harapan kepada mereka,” katanya ketika ditemui di studio Astro AWANI.
Selain Muadz, Faizal turut ditemani penyanyi Aizat Amdan, Noh Salleh dan Mizz Nina.
“Mizz Nina tidak akan menyanyi namun ada sesi perkongsian bersama beliau.
“Dengan artis lain, saya harus duduk dan berbincang bersama mereka jika mereka mahu membuat persembahan secara berkumpulan atau solo.
“Kalau solo, saya mungkin akan menyanyi lagu saya sendiri dan juga lagu Yusuf Islam dan Maher Zain tetapi dengan cara saya sendiri. Kita tidak mahu bawa lagu-lagu sedih ke sana,” kata Faizal.
Pandangan ini turut dikongsi oleh Muadz yang berkata mereka akan membawa semangat positif ke Jordan.
“Mereka yang melalui kesusahan namun kita mahu membawa semangat positif sahaja. Biarkan mesej yang kita bawa adalah tentang harapan, kasih sayang dan keimanan,” kata Muadz.
Beliau bercadang untuk menyanyi beberapa lagu Arab dan juga lagu ‘cover’.
“Saya sangat teruja dengan peluang ini. Saya ada membuat persembahan konsert amal sebelum ini tetapi kali ini saya dapat peluang berjumpa dengan mereka.
Jadi saya tidak perlu fikir panjang untuk terut serta dalam konsert ini,” kata Muadz.
Sementara itu, pengasas dan pengurus projek kumpulan sukarelawan Fatiha Shuib and Friends, Nur Fatiha Shuib akui teruja dengan kehadiran nama-nama besar ini ke Jordan.
Kata Nur Fatiha, tujuan misi ke Jordan ini adalah untuk kutipan dana bagi membantu pelarian Palestin dan Syria.
"Kita akan memenuhi objektif-objektif utama bagi membantu pelarian iaitu dari segi keperluan musim sejuk,pendidikan dan hubungan kemanusiaan.
“Kami sasar kutipan sebanyak RM70,000, dengan kehadiran seramai 1,000 orang di konsert terbabit Kami juga ada membuat pembidaan. Jadi saya harap kami akan capai sasaran kami."
Bagi peminat di Malaysia, Nur Fatiha sedang mengusahakan agar konsert berkenaan dapat ditonton secara “online streaming”.
“Kami juga akan merakam detik-detik kami di sana agar semuanya tulus. Apa sahaja bantuan yang diberikan rakyat Malaysia, mereka akan lihat sendiri bantuan mereka sampai kepada mereka di Jordan,” tambahnya.