Konsert akhir GV7 bakal tampilkan 'kejutan'

Hasimi Muhamad
Disember 7, 2020 08:00 MYT
Tujuh peserta akan berentap dalam konsert akhir GV7 pada 13 Disember ini -- Oja, Muss, Linda Nanuwil, Ashira, Ayu Damit, Noraniza Idris dan Cliff Umar.
KONSERT akhir Gegar Vaganza musim ketujuh (GV7) minggu depan dijangka menampilkan kelainan yang tidak pernah berlaku sepanjang enam musim program realiti nyanyian itu diadakan.
Ketua Strategi Kandungan Hiburan Astro, Raqim Ahmad berkata perancangan teliti telah dibuat untuk memastikan kemeriahan program tersebut, sekiranya penonton masih tidak dibenarkan hadir bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).
“Kita ada beberapa kelainan untuk konsert akhir. Perkara itu telah kita rancang, dan kita tidak pernah buat lagi di dalam mana-mana konsert akhir GV sebelum ini.
“Jadi, saya rasa dengan perkara baharu yang akan kita tonjolkan pada konsert akhir nanti, diharap penonton di rumah akan terhibur,” katanya ketika ditemui Astro AWANI pada Ahad malam.
Bagaimanapun, Raqim tidak menjelaskan secara lanjut mengenai ‘kejutan’ itu, sebaliknya menyifatkan ia akan memberi impak kepada keseluruhan persembahan pada konsert akhir yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).
Mengulas lanjut, Raqim berkata pihaknya masih meletak harapan tinggi agar penonton dibenarkan hadir pada konsert tersebut susulan Perintah Kawalan Pergeralan Bersyarat (PKPB) di Putrajaya ditamatkan hari ini.
Namun, katanya, kebenaran tersebut masih tertakluk kepada keputusan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Justeru, Raqim menambah satu perbincangan akan diadakan bersama MKN pada Isnin.
“Kalau ikutkan sebelum PKPB dilaksanakan ketika konsert Big Stage, kita benarkan kurang daripada 200 orang penonton untuk berada di lokasi. Tetapi jumlah tersebut bergantung kepada saiz lokasi berkenaan.
“Jadi, PICC kalau lihat hari ini kawasannya agak luas, sebenarnya boleh menempatkan 1,000 orang tetapi yang kita benarkan untuk datang menonton pada konsert Big Stage yang lalu adalah 200.
"Jadi, penjarakan fizikal itu dapat dijalankan lebih baik (di PICC) apabila lokasi itu lebih besar,” ujarnya.
Tujuh peserta akan berentap dalam konsert akhir GV7 pada 13 Disember ini.
Mereka ialah Oja, Muss, Linda Nanuwil, Ashira, Ayu Damit, Noraniza Idris dan Cliff Umar.
GV7 masih mengekalkan format pemarkahan 100 peratus daripada juri profesional iaitu Datuk Ramli MS dan Datuk Khatijah Ibrahim, selaku juri tetap.
#Gegar Vaganza #GV7 #konsert akhir #program realiti nyanyian #Raqim Ahmad #Ketua Strategi Kandungan Hiburan Astro #Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan #PKPP #Majlis Keselamatan Negara #MKN
;