Konsep pertabalan diraja Inggeris di pertunjukan fesyen Rizalman buat ramai terpukau
Asyraf Roslan
Mac 28, 2019 09:00 MYT
Mac 28, 2019 09:00 MYT
Sebut sahaja nama Datuk Rizalman Ibrahim, sudah pasti peminat fesyen Malaysia akan terbayangkan koleksi busana dan pertunjukan fesyen yang mengagumkan.
Jika tahun lepas jenama Rizalman membawakan konsep Bollywood untuk busana rayanya bersama Zalora, tahun ini pereka itu membuat setiap orang yang hadir ke persembahan fesyennya kagum dengan tema berkonsepkan suasana pertabalan Diraja Britain.
Dari reka hiasan pentas sehinggalah ke gaya silhouette busana, Rizalman sendiri muncul dengan berbusana lagak seperti seorang raja di istana Inggeris.
Menurutnya, setiap idea yang dikeluarkan perancangannya sudah diatur sejak beberapa tahun lalu dan sudah pasti sebagai pereka fesyen dia mahukan peminat fesyen tempatan teruja dengan koleksi yang dikeluarkan olehnya.
"Untuk setiap idea selalunya saya sudah merancang bertahun-tahun sebelumnya. Seperti tahun ini saya sudah merancangnya sejak tahun 2017 lagi dan ketika saya bercakap ini saya sudah pun memikirkan apa yang ingin saya persembahkan pada tahun 2021 nanti.
"Saya sebagai seorang pereka fesyen sudah pasti saya mahukan peminat fesyen teruja setiap kali saya menggeluarkan koleksi terbaharu" katanya selepas persembahan fesyennya yang diadakan di Stadium Chin Woo, Kuala Lumpur pada Rabu.
Menyentuh soal fabrik yang digunakan pula, Rizalman menyatakan bahawa untuk koleksi tahun ini dia mengambil eksklusiviti rekaan tekstil dari artis terkemuka di London.
Untuk "Rizalman for Zalora 2019" beliau telah hadir degan 75 koleksi baharu.
Pertunjukkan hebat itu turut dihadiri oleh Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Almarhum Sultan Iskandar.
Selain itu antara selebriti yang hadir pada pertunjukan tersebut ialah Dayang Nurfaizah, Izara Aisyah, Neelofa, Scha Al Yahya, Awal Ashaari dan Hael Husaini.