KUALA LUMPUR: Penyanyi terkenal Indonesia, Datuk Seri Rossa berharap, filem dokumentarinya 'All Access to Rossa 25 Shining Years' yang bakal ditayangkan di pawagam pada 18 Oktober ini, dapat menjadi inspirasi kepada penonton terutama wanita untuk terus berusaha agar impian mereka menjadi kenyataan.

Filem dokumentari yang dihasilkan sempena ulang tahun ke-25 kerjaya seni pemilik nama sebenar Sri Rossa Roslaina Handiyani itu, mengisahkan perjalanan hidup dan kejayaannya sepanjang karier dalam industri muzik.

Pelantun lagu Hey Ladies itu juga berharap, kisah yang dipaparkan dalam dokumentari tersebut dapat menyuntik semangat, terutama kepada golongan muda termasuk penyanyi baharu agar tidak mudah berputus asa dalam menghadapi cabaran hidup.

"Banyak cerita yang saya kongsi ada hal-hal positif yang boleh diambil. Saya berasa semua wanita memiliki kekuatan yang luar biasa, cuma kebetulan saja saya ada waktu dan peluang untuk bercerita, jadi secara umumnya, (kisah) saya seperti mewakili semua wanita.

"Tidak kira penyanyi atau apa sahaja bidang, jika mahukan karier yang panjang, banyak cabaran yang perlu dilalui selain memerlukan banyak kesabaran dan perjuangan serta rasa tidak putus asa," katanya pada sesi tayangan filem dan sidang media baru-baru ini.



ROSSA-FILEM 2 (AKHIR) KUALA LUMPUR



Filem berdurasi 90 minit itu turut membawa penonton menyelami sisi lain penyanyi berusia 45 tahun itu yang jarang diketahui ramai dan turut menampilkan rakan seperjuangannya termasuk Melly Goeslaw, Ariel dan Afgan.

Lebih menarik, Rossa turut berkongsi beberapa kisah peribadi, antaranya, perceraian dengan suaminya Surendro Prasetyo atau Yoyo yang merupakan pemain drum kumpulan Padi pada tahun 2009, yang tidak pernah dikongsi sebelum ini.

Perkongsian itu diharap dapat memberi motivasi dan dorongan positif kepada mereka yang mengalami dan perlu melalui cabaran serupa.

"Saya rasa, ini waktu yang tepat, semuanya sudah baik-baik, tidak akan ada fitnah dan pihak yang dirugikan. Mungkin sebelum ini, misalnya, kita ambil masa untuk berdamai dengan keadaan.

"Saya, bekas suami (Yoyo) dan anak (Rizky Langit Ramadhan) juga sudah kembali lagi jadi keluarga tanpa ada pergaduhan ... hubungan saya dan bekas suami sekarang lebih kepada adik dan abang dan mahu menjadi ibu bapa yang baik kepada anak kami," katanya yang berbincang dengan anak dan bekas suaminya, meminta persetujuan untuk berkongsi kisah dirinya serta keluarga, sebelum rakaman filem berkenaan dibuat.

-- BERNAMA