Komposer Zul Mahat meninggal dunia akibat jangkitan kuman

Sinar Harian
Mac 1, 2025 10:45 MYT
Komposer legenda Zul Mahat meninggal dunia malam tadi akibat jangkitan kuman di paru-paru.
INDUSTRI muzik tanah air kehilangan seorang lagi bakat besar apabila komposer dan pemuzik terkenal, Zul Mahat, 64, menghembuskan nafas terakhir di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) Jumaat malam akibat jangkitan kuman di paru-paru.
Berita pemergian Allahyarham disahkan oleh anak saudaranya yang memaklumkan kepada teman rapatnya, Rosnah Abdul Aziz.
Difahamkan, Allahyarham dimasukkan ke PPUM sejak penghujung Disember lalu selepas terjatuh ketika menjalani rawatan dialisis di sebuah pusat dialisis di Subang Jaya. Akibat insiden itu, beliau mengalami kecederaan di bahagian dagu dan mata selain patah tangan serta bahu kanan.
Allahyarham turut menjalani prosedur angiogram selepas doktor mengesan dua saluran darah tersumbat, sebelum dibenarkan pulang pada penghujung Januari.
Bagaimanapun, beliau dimasukkan semula ke hospital pada 17 Februari lalu selepas mengalami jangkitan kuman di paru-paru.
Sepanjang kariernya, Zul Mahat telah menghasilkan banyak lagu untuk artis tempatan antaranya Perjalanan Duka nyanyian Min Malik, Sahabat dendangan Fauziah Latiff serta Sesat Dalam Gelita yang dipopularkan oleh kumpulan Spider.
Selain bergelar komposer, Allahyarham juga dikenali sebagai pemain keyboard yang sering terlibat dalam rakaman album artis tersohor seperti Datuk M Nasir, Search dan ramai lagi.
Pemergian beliau pastinya meninggalkan kesan mendalam kepada industri muzik negara. - Sinar Harian
#Zul Mahat #meninggal dunia #komposer #jangkitan kuman
;