'Komen negatif? biarlah!'- Samantha tak kisah digelar 'Gadis Nasi Lemak'
Gempak
November 2, 2017 18:00 MYT
November 2, 2017 18:00 MYT
PESERTA Miss Universe 2017, Samantha Katie James akui tidak mengendahkan komen negatif selepas gaun 'nasi lemak daun pisang' yang digayakannya pada Isnin lalu menjadi tular dan dikritik.
Sebaliknya, Samantha,22, berkata dia berbangga kerana bakal memperagakan pakaian rekaan Brian Khoo itu pada pertandingan yang akan diadakan di Las Vegas, Amerika Syarikat penghujung bulan ini.
"Sejak ia viral, saya terima banyak komen termasuk yang negatif tetapi saya tidak berniat untuk melayan mahu pun membacanya.
"Ada sahaja komen negatif di laman sosial, saya terus alihkan pandangan.
"Buang masa kerana saya tahu baju saya digemari oleh orang luar negara terutama antarabangsa. Mereka suka dan memujinya.
"Lagipun, saya berbangga dengan busana itu kerana ia rekaan yang sangat kreatif daripada Brian dan kebetulan saya memang meminati hasil kerjanya," katanya kepada Astro Gempak.
Samantha ditemui pada majlis tayangan perdana supertelefilem Wanita Terindah yang berlangsung di GSC Pavilion malam tadi.
Pemenang Miss Malaysia Universe itu mengulas kritikan negatif orang ramai mengenai busana tersebut yang disifatkan sebagai tidak sesuai untuk digayakan ke pertandingan besar seperti Miss Universe.
Sementara itu, Samantha memberitahu dia tidak kisah jika namanya selepas ini popular dengan gelaran 'Gadis Nasi Lemak'.
"Saya tidak kisah pun jika dikenali dengan gelaran 'Gadis Nasi Lemak' dan ia terus melekat.
"Baik atau buruk sesuatu publisiti itu ia tetap publisiti. Saya terima," katanya lagi.
Wanita Terindah merupakan naskah Melayu kedua lakonan Samantha selepas filem Kastil Tua.
Selain Samantha, ia turut membariskan pelakon seperti Fattah Amin, Nur Fazura, Liza Othman, Redzuan Hashim, Adam Mika dan Sarah Hildebrand.
Ia disiarkan menerusi saluran Astro First Eksklusif (saluran 480) bermula 2 November ini.
Teks oleh: Syafiqah Jalal