Kolaborasi istimewa Inteam, Sam Bunkface dalam Mencari Sinar

Astro Awani
April 18, 2021 16:38 MYT
Kumpulan Inteam dan Sam Bunkface sangat teruja dengan kerjasama mereka menerusi lagu Mencari Sinar ciptaan sepenuhnya Allahyarham Ahmadi Hassan.
KUALA LUMPUR: Bulan penuh kemuliaan, Ramadan sering diambil kesempatan dengan kebaikan yang ditawarkannya oleh sebilangan besar daripada umat Islam untuk menggandakan jariah mereka.
Bahkan, Ramadan juga lazimnya menjadi titik permulaan pada penghijrahan yang baik.
Industri muzik tanah air juga sudah sering menyaksikan pelbagai transformasi bukan sahaja pada selebriti, bahkan juga pada karya-karya seni.
Terbaharu, pada Ramadan ini, dua nama besar dalam lapangan muzik iaitu kumpulan nasyid, Inteam dan pejuang muzik punk rock, Sam Bunkface bergabung dalam sebuah naskhah yang istimewa.
Perbezaan genre muzik antara kedua-dua artis berkenaan tidak pernah menjadi halangan buat Inteam dan Sam bekerjasama dalam sebuah melodi istimewa yang khusus menceritakan soal keimanan manusia.
Menerusi karya Mencari Sinar, mesej penghijrahan menjadi teras yang sekali gus mengajak masyarakat untuk sentiasa mengingati kebesaran Yang Maha Esa.
Mencari Sinar merupakan sebuah karya baharu yang mana melodi dan lirik asalnya ditulis oleh Allahyarham Ahmadi Hassan.
Kepada yang pernah membesar dengan karya-karya kerohanian sekitar 70-an dan 80-an tentu sekali mengenali nama Ahmad Hassan.
Allahyarham yang pernah masyhur menerusi lagu-lagu seperti Godaan Dunia dan Hanya Pada Allah merupakan antara seorang penggiat seni yang disegani ramai.
Mencari Sinar ialah salah sebuah karya terakhir Allahyarham yang belum pernah dirakam sebelum ini.
Istimewanya, inilah satu-satunya karya ciptaan Allahyarham yang diselitkan elemen rap di dalamnya.
Bagaimanapun, bagi mengukuhkan lagi mesej yang terkandung di dalam lirik, Sam Bunkface telah membuat improvisasi pada rangkap rap lagu ini.
Bagi mewujudkan kelainan serta keseimbangan kepada genre dan mood lagu, syarikat produksi, Smileyriver telah mendapatkan khidmat Sam Bunkface sebagai penyusun muzik di mana Sam turut bekerjasama dengan Epul Kuat bagi tugas ini.
Selain itu, dalam memberi kelainan, Mencari Sinar turut menampilkan Fauziah Gambus sebagai pemuzik jemputan.
Gabungan Inteam dan Sam dalam lagu Mencari Sinar adalah relevan untuk semua golongan dan peringkat umur.
Inteam dan Sam juga mempunyai niche tersendiri, selain mempunyai pengaruh yang besar.
Gabungan dua artis muda dari dua genre dapat membantu menyebarkan mesej lagu ini dengan lebih meluas dan berkesan.
Mencari Sinar mula berada di semua platform digital pada 9 April lalu.
Bagi Inteam, peluang kerjasama yang diberikan oleh Smileyriver mencetuskan rasa teruja kepada semua anggota kumpulan itu.
“Harapan kami semoga lagu Mencari Sinar mendapat sambutan di kalangan semua pendengar baru dan lama,” kata Inteam.
Sementara Sam pula berpendapat, doanya untuk merakamkan sebuah lagu yang liriknya mengandungi kata-kata kebesaran pada Allah akhirnya dimakbulkan.
“Sebagai penerbit Sam pernah berdoa nak menyebut nama Allah dan Rasul dalam lagu Bunkface, tapi selalu tak jadi. Allah nak makbulkan doa sam, tiba-tiba label Smileyriver tawarkan untuk kolaborasi lagu Mencari Sinar.
“Doa Sam dimakbulkan oleh Allah dan Sam sangat gembira untuk menyanyi sesuatu yang lain dari kebiasaan,” kata Sam.
#Inteam #Sam Bunkface #Mencari Sinar #Fauziah Gambus
;