Kolaborasi Astro, Les' Copaque perkasa industri animasi

Isabelle Leong
Oktober 30, 2018 22:57 MYT
Usahasama antara Astro dan Les' Copaque menerusi animasi Upin & Ipin bakal menyaksikan penerokaan industri animasi secara lebih menyeluruh yang meliputi kepakaran serta aset kedua-dua syarikat ini. - ASTRO
Astro Malaysia Holdings Berhad (Astro) dan syarikat penerbitan animasi Les’ Copaque Production Sdn Bhd pada Selasa mengumumkan usahasama strategik bagi memperkasakan lagi industri animasi tempatan dan penerokaan pemasaran di peringkat antrabangsa.
Naib Presiden GenNext Astro, Putri Yasmin Megat Zaharuddin berkata usahasama menerusi animasi ‘Upin & Ipin’ ini bakal menyaksikan penerokaan industri animasi secara lebih menyeluruh yang meliputi kepakaran serta aset kedua-dua syarikat ini.
"Usahasama yang dibina bersama dengan pemegang harta intelek 'Upin & Ipin' ini sudah pasti akan memperluaskan lagi tawaran kandungan sedia ada khususnya bagi segmen pendidikan buat para pelanggan kami bukan sahaja di Malaysia, malahan di negara-negara serantau seperti Indonesia, Singapura dan juga Brunei," kata Putri Yasmin.
Bagi Pengarah Urusan Les’ Copaque, Burhanuddin Md Radzi, kerjasama di antara kedua-dua syarikat ini telah mengubah model perniagaan industri kreatif.
“Kerjasama di antara Les’ Copaque tengan Astro merupakan satu kerjasama yang tidak pernah dibuat. Pada kebiasaannya, pembuat produk jual sahaja dan penyiar hanya melakukan tugas menyiar sahaja. Tetapi ini sesuatu yang berbeza. 


"Pihak penerbit akan bekerjasama dengan pihak penyiar untuk menentukan hala tuju dan strategi perniagaan daripada segi isi kandungan, pemasaran, sasar pasaran, dan pembangunan pasaran baharu," kata Burhanuddin.
Menurutnya, karya animasi terbitan Les’ Copaque, khususnya Upin & Ipin, mempunyai tarikan global dengan penerapan nilai sejagat dengan pilihan Bahasa Inggeris menjadikannya lebih mudah diterima penonton.
"Kejayaan animasi 'Upin & Ipin' bukan sahaja membantu dalam peningkatan industri animasi tempatan, malah membuka jalan baharu dalam kerjasama dari segi perniagaan yang mampu menjana ekonomi negara melalui kepakaran dalam bidang masing-masing," jelas Burhanuddin.
Membuka tirai kerjasama Astro-Les’ Copaque, sempena cuti persekolahan yang bakal menjelang, ‘Karnival Upin & Ipin 2018’ akan diadakan pada 20 hingga 23 Disember ini di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) Serdang.
#animasi #antarabangsa #Astro #Astro Malaysia Holdings Berhad #Burhanuddin Md Radzi #industri #kolaborasi #Les Copaque #Les Copaque Production Sdn Bhd #Putri Yasmin Megat Zaharuddin #strategik #Upin & Ipin #YouTube
;