Kolaborasi 22 pereka fesyen tanah air dirai dalam The Wedding KL 2019
Azyyati Ahmad
Januari 26, 2019 14:16 MYT
Januari 26, 2019 14:16 MYT
Acara peragaan koleksi pengantin paling dinantikan ‘The Wedding KL’ bermula pada Jumaat dengan lebih 20 pereka fesyen terkemuka tanah air mempersembahkan koleksi baju pengantin eksklusif mereka.
Menurut pengasas Andrew Tan, acara yang memasuki tahun keempat itu kali ini menampilkan kolaborasi bersama vendor dan jenama perniagaan dalam mengetengahkan trend terkini dalam koleksi pakaian pengantin baharu.
Kata Andrew, pada masa sama, acara ini diadakan sebagai penghormatan kepada pemain utama industri fesyen pengantin serta pereka fesyen yang baru menempa nama.
”Tahun ini The Wedding KL disertai 22 pereka fesyen, dan kita harap jumlah itu berkembang pada tahun 2020 nanti.
“Kita akan sentiasa menjadi platform bagi menyokong pereka fesyen tempatan yang sentiasa melakukan yang terbaik untuk industri ini, jadi ini adalah platform untuk meraikan koleksi mereka,” katanya yang ditemui pada majlis pelancaran di sebuah hotel terkemuka di ibu kota pada Jumaat.
Antara nama baharu yang menyertai The Wedding KL tahun ini ialah Fuzana Mokhtaza, Liza Azulkarnain dan Zaimi Zulkafli.
Selain itu, acara yang berlangsung hingga Ahad ini juga membariskan pereka-pereka terkemuka seperti Fiziwoo, Syomirizwa Gupta dan Hatta Dolmat.