KLIFAA 2024 jangka tarik hingga 4,000 penyertaan penggiat industri perfileman

Bernama
Februari 9, 2024 06:45 MYT
Sambutan penyertaan KLIFAA 2024 yang memberangsangkan itu disebabkan oleh beberapa faktor, antaranya hubungan baik dengan kedutaan luar negara.
KUALA LUMPUR: Anugerah Akademi Filem Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIFAA) 2024 dijangka menarik hingga 4,000 penyertaan dalam kalangan penggiat industri perfileman di seluruh dunia.
Pengarah Program KLIFAA 2024 Mohamad Zaini Hassan berkata sejak dibuka 12 Jan lepas, acara julung kali yang bakal dianjurkan di ibu negara selama lima hari mulai 7 Ogos depan sudah menerima lebih 1,000 penyertaan dari 98 negara dan penyertaan akan ditutup pada 31 Mei depan.
Katanya sambutan penyertaan KLIFAA 2024 yang memberangsangkan itu disebabkan oleh beberapa faktor, antaranya hubungan baik dengan kedutaan luar negara, menghadiri beberapa festival filem antarabangsa seperti di Brazil dan Argentina serta promosi di media sosial.
"KLIFAA 2024 akan menyediakan satu persekitaran yang kondusif untuk pengkarya kita dan kita boleh berkongsi maklumat serta semangat dengan penggiat industri perfileman dari seluruh dunia," katanya ketika menjadi tetamu dalam program Apa Khabar Malaysia terbitan Bernama TV, pada Jumaat.
Penggiat industri perfileman berbakat dari seluruh dunia boleh mengambil bahagian dengan menghantar karya masing-masing untuk bertanding dalam kategori dipertandingkan menerusi laman sesawang www.klifaa.com.
Menurut laman sesawang itu, sebanyak 49 anugerah akan dipertandingkan daripada enam kategori melibatkan kategori Feature Film, TV Drama, Documentary, Short Film, Special Mentions dan P. Ramlee Award.
-- BERNAMA
#KLIFAA 2024 #industri perfileman #laman sesawang #seluruh dunia
;