KKD siasat dakwaan filem Anwar: The Untold Story disabotaj

Sinar Harian
Mei 24, 2023 12:54 MYT
Nie Ching menghadiri tayangan Anwar: The Untold Story di sebuah pawagam di Kulai pada Selasa. - Gambar/ Sinar Harian
KULAI: Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) akan menyiasat dakwaan berhubung filem Anwar: The Untold Story yang mula ditayangkan pada Khamis lalu, disabotaj.
Timbalan Menterinya, Teo Nie Ching berkata, dakwaan tersebut akan diteliti dan siasatan segera akan dilakukan.
Bagaimanapun, setakat ini pihaknya masih belum menerima maklum balas daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas).
"Saya akan buat siasatan sama ada tuduhan tersebut adalah benar atau tidak. Saya percaya, lagi banyak penonton yang berminat menyaksikan filem ini sudah tentu lagi banyak pawagan akan tayangkan filem ini," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar semasa menghadiri tayangan Anwar: The Untold Story di sebuah pawagam di Kulai pada Selasa.
Pada Ahad, produksi filem Anwar: The Untold Story mendakwa sesetengah pawagam cuba mensabotaj tayangan naskhah biopik yang memaparkan kisah jatuh bangun perjuangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu.
Walaupun mencipta sejarah menjadi filem biopik pertama mencatat kutipan RM1 juta pada hari pertama tayangan, Khamis lalu, namun jumlah kutipan tidak memenuhi sasaran apabila filem terbitan Yusrych Global Sdn Bhd dan edaran oleh DMY Creation seperti tidak mendapat slot tayangan seperti permintaan ramai.
Bagaimanapun Persatuan Pemamer Filem Malaysia (MAFE) menafikan dakwaan mensabotaj filem Anwar: The Untold Story dengan mengurangkan slot tayangan di 124 pawagam negara.
MAFE dalam kenyataan pada Selasa berkata, pihaknya tidak pernah meminggirkan mana-mana naskhah tempatan selain sentiasa memberi sokongan kepada perkembangan industri perfileman negara. - Sinar Harian
#KKD #Anwar The Untold Story #sabotaj #siasatan
;