Kisah inspirasi atlet paralimpik bola sepak dalam Eye On The Ball

Najmi Syahiran Mamat
Mac 11, 2020 18:36 MYT
Dokumentari Eye On The Ball bakal menampilkan empat watak utama dari skuad Harimau Buta iaitu Asri Arshad, Azwan Kenchot Azhar, Rollen Marakim dan jurulatih Sunny Shalesh. - Gambar Astro AWANI/ Najmi Syahiran
Hanya bermula dengan sebuah video pendek, kisah perjalanan sekumpulan atlet paralimpik bola sepak dalam mempertahankan kejuaraan mereka di pentas sukan antarabangsa diangkat ke layar perak.
Filem dokumentari berjudul Eye On The Ball itu bakal memberi inspirasi kepada penonton tentang bagaimana sekumpulan anak muda yang cacat penglihatan bertekad untuk menggapai impian menjadi pemain bola sepak profesional.
Meskipun pembikinan filem itu mengambil masa dua tahun, pengarahnya, Yihwen Chen, menyifatkan perkongsian hidup pemain bola sepak orang buta itu seakan-akan memberi peluang kedua dalam hidup apabila bakat mereka diasah sehingga melayakkan pasukan itu ke Sukan Para ASEAN 2017.
“Saya tidak pernah mempunyai sahabat yang cacat penglihatan sehinggalah saya bertemu dengan pasukan bola sepak orang buta ini,” kata Wen, yang juga penerbit filem itu.
“Saya sedia maklum mengenai masalah yang dihadapi golongan ini seperti kesukaran mendapatkan akses kepada kemudahan kesihatan. Maka disebabkan itu saya memilih untuk menceritakan mengenai isu-isu penting ini.
“Saya sedar video pendek tidak mampu meninggalkan kesan yang mendalam oleh itu saya memilih untuk menjadikannya sebuah dokumentari panjang,” kata Wen kepada Astro AWANI selepas ditemui pada malam gala dan tayangan perdana filem itu pada Selasa.
Wen yang juga berpengalaman mengarah beberapa dokumentari bertaraf antarabangsa, turut memuji jurulatih skuad bola sepak itu yang dilihat sentiasa bersemangat dalam membuka ruang kepada komuniti cacat penglihatan di Malaysia.
Sementara itu, jurulatih skuad bola sepak Harimau Buta itu, Sunny Shalesh berkata, cabaran mengendalikan pasukan bola sepak orang buta itu sudah bermula sejak hari pertama mengenali mereka.
“Saya merasakan bahawa saya menerima inspirasi daripada golongan ini apabila saya melihat kemahuan mereka untuk mencuba dan mengejar impian.
“Mempunyai seorang adik yang juga dilahirkan istimewa, ia mengajar saya bahawa komuniti kelainan upaya juga mempunyai hak untuk bersukan seperti sepak bola,” katanya.
Sunny berkata, dia berharap dokumentari itu dapat membuka mata masyarakat akan keupayaan luar biasa dimiliki komuniti itu.
Tayangan filem yang bakal menyaksikan kerjasama antara pasukan kewartawanan penyiasatan R.AGE (Star Media Group), Yayasan CIMB, TGV Pictures Sdn. Bhd serta Astro SHAW itu dijadualkan pada 19 Mac ini di pawagam seluruh negara.
Dokumentari Eye On The Ball bakal menampilkan empat watak utama dari skuad Harimau Buta iaitu Asri Arshad, Azwan ‘Kenchot’ Azhar, Rollen Marakim dan jurulatih Sunny Shalesh.
#Astro Shaw #BFAM #cacat penglihatan #CIMB #Harimau Buta #R AGE #Star Media Group #Sukan Paralimpik ASEAN #The Star #Yayasan CIMB
;