Kisah Chrisann Pereira, bintang Bollywood yang terperangkap sebagai keldai dadah
Agensi
Mei 19, 2023 11:00 MYT
Mei 19, 2023 11:00 MYT
APA yang berlaku pada pelakon Chrisann Pereira bulan lalu banyak bezanya dengan jalan ceritanya seperti filem aksi Bollywood.
Apabila si manis berusia 27 tahun itu yang pernah memegang watak kecil dalam filem Sadak2 dan Batla House, berlepas dari Mumbai, India menuju ke Sharjah, Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 1 April lalu, Chrisann hanya membayangkan peluangnya menjadi bintang masyhur dunia.
Chrisann dikatakan menerima pelawaan menghadiri sesi uji bakat bagi watak utama untuk drama bersiri yang akan ditayangkan di platform digital, dakwa adiknya, Kevin kepada portal berita BBC.
Namun, lain yang didamba, lain pula yang menimpa Chrisann.
Sebaik tiba di Sharjah, episod hitam dalam hidupnya bermula dan keluarganya pula berhadapan dengan mimpi ngeri - dia ditahan dan dibawa ke lokap selepas pihak berkuasa mengesan terdapat dadah dalam barangan yang dibawanya.
Tiga minggu kemudian, dia dibebaskan selepas polis Mumbai menahan dua lelaki yang didakwa memerangkap Chrisann.
Chrisann menanti untuk mendapatkan semula pasport antarabangsanya sebelum dibenarkan kembali ke India, kata Kevin lagi.
Pegawai di jabatan jenayah polis Mumbai yang juga sebahagian daripada pasukan penyiasatan kes itu memberitahu BBC, lelaki ketiga yang disyaki pengedar dadah juga telah ditahan dan dipenjarakan.
“Ia (perbuatan) ini merupakan bentuk balas dendam yang dirancang oleh suspek utama yang juga pengusaha kedai roti, Anthony Paul yang dibantu oleh rakannya seorang pegawai bank,
Rajesh Damodar Bobhate yang juga dikenali dengan nama samaran Ravi Jain dan Prasad Rao," kata pegawai polis itu lagi.
Hasil siasatan polis, kata pegawai berkenaan, kedua-dua Anthony dan Rajesh telah memerangkap empat orang dalam jenayah yang sama dan seorang daripadanya, Clayton Rodrigues masih ditahan dalam penjara di Sharjah.
Anthony and Rajesh, bagaimanapun, tidak memberi sebarang komen mengenai dakwaan berkenaan kerana kedua-duanya kini di penjara.
Bagaimanapun, peguam Anthony iaitu Ajai Dubey menafikan sekeras-kerasnya dan menyifatkan dakwaan tersebut sebagai ‘palsu dan berniat jahat’.
Ajay, sebaliknya, menyalahkan Rajesh yang didakwanya telah berbohong dengan anak guamnya dan menegaskan dia tiada kaitan dengan barangan yang dibawa Chrisann ke Sharjah.
Dalam masa sama, isteri Rajesh, Sonal memberitahu BBC, sebetulnya, Anthony yang telah ‘memerangkap’ suaminya.
Dendam lama jadi punca
Kisah bagaimana Chrisann menjadi keldai dadah seperti diceritakan Kevin, penuh dengan pelbagai hal yang sukar dipercayai.
Pada 23 Mac lalu, ibu mereka Premila Pereira menerima mesej daripada seorang lelaki yang mendakwa pernah bertemu Chrisann di suatu acara.
Dalam mesej berkenaan, lelaki itu juga mendakwa, dia membiayai sebuah drama bersiri dan mahu menawarkan watak kepada Chrisann.
“Apabila Chrisann bertemu lelaki itu, dia memberitahu yang Chrisann perlu ke Dubai untuk menjalani uji bakat dan apabila menerima tiket penerbangan, destinasi yang tertulis ialah Sharjah."
Kevin masih ingat dia menitipkan pesanan kepada Chrisann agar “berhati-hati kerana pernah mendengar mengenai sindiket scam” namun, pesanan itu diyakini tidak terlintas di fikiran kakaknya itu.
“Dia sedang membuat persiapan untuk uji bakat itu dan begitu teruja dengan peluang yang diperolehnya itu,” kongsi Kevin lagi.
Beberapa jam sebelum berlepas, Kevin berkata, Chrisann menerima panggilan telefon daripada lelaki yang sama yang meminta Chrisann bertemu dengannya semasa dalam perjalanan ke lapangan terbang.
Di situ, lelaki tersebut menyerahkan sebuah cenderamata dan meminta Chrisann menyampaikannya kepada rakannya di Sharjah.
“Dia tiba pada pukul 1.17 pagi dan menelefon bapa kami sekitar pukul 2 pagi memberitahu yang dia telah diperdaya.
“Chrisann berkata tiada sesiapa yang menantinya di lapangan terbang, bahkan tiada sebarang pendaftaran atas namanya di hotel. Kemudian, dia memaklumkan kepada kami mengenai cenderamata yang dibawa.”
Kevin yang pernah bekerja dalam industri penerbangan mula terfikir ada sesuatu yang tidak kena dan kakaknya itu sedang dalam bahaya.
“Saya beritahu kepadanya segera ke balai polis di lapangan terbang dan ceritakan segala-galanya. Untuk tempoh 17 haru kemudiannya, kami gagal berhubung dengan Chrisann.
Apa lagi mampu dilakukan keluarga mangsa selain melaporkan kepada polis di tanah air dan selang beberapa hari selepas itu, keluarga berkenaan mengirim 15 e-mel termasuk kepada Perdana Menteri, Menteri Dalam Negeri serta Konsular India di Sharjah bagi mendapatkan bantuan untuk mengesan Chrisann.
“Kami akhirnya mendapat pengesahan daripada Konsular India yang Chrisann ditahan di Penjara Pusat Sharjah kerana kesalahan membawa dadah.
“Apabila membuat pencarian di internet, kami dapati sesiapa yang melakukan kesalahan itu boleh dipenjara selama 25 tahun atau dihukum mati. Penemuan ini mencetus rasa panik dalam kalangan ahli keluarga,” kongsi Kevin lagi.
Media sosial buka jalan penyelesaian
Dua minggu selepas Chrisann ditahan, kebimbangan keluarganya semakin memuncak menyebabkan Kevin membuat keputusan berkongsi hal itu di laman media sosial - iaitu jalan untuk penyelesaian mula terbuka luas.
Empat orang telah memberi maklum balas dan menceritakan pernah melalui pengalaman yang sama.
Kesemua mereka mendakwa, lelaki sama juga meminta mereka membawa cenderamata yang mencurigakan itu ke negara Timur Tengah – sama seperti diperlakukan pada Chrisann.
Tanpa berlengah, Kevin dan keluarga beberapa mangsa lain membuat laporan di balai polis dan bahagian siasatan jenayah mengambil alih kes berkenaan.
Menurut polis, kesemua lima kes itu menjurus kepada ‘peribadi’ kerana suspek utama iaitu Anthony mengenali semua mangsanya dan jenayah itu dibuat atas dasar mencapai kejayaan peribadi.
Anthony didakwa memberitahu polis bahawa dia merancang melakukan perangkap itu sejak setahun lalu selepas dia dan ibu Chrisann berselisih pendapat mengenai anjing liar.
Sepengetahuan keluarga Pereira, mereka sudah lama melupakan perihal itu dan segala-galanya berjalan lancar tanpa sesekali pun terlintas di fikiran bahawa Chrisann diperangkap sehinggalah pada 24 April lalu apabila polis mengumumkan tangkapan tersebut dan motifnya.
Namun begitu, kepada keluarga Pereira, mimpi ngeri buat mereka belum lagi berakhir.
“Saya sangat yakin kakak saya sangat naif dan kebenaran akan muncul juga, tetapi kamu tidak boleh membayangkan bagaimana tekanan mental dan emosi yang diharunginya. Kakak saya sudah keluar penjara dan dia selamat, tetapi kami masih tidak tahu bila kes itu akan ditutup dan bila dia akan kembali ke pangkuan keluarga,” ujar Kevin.
Kejadian itu juga, tambahnya, benar-benar mengejutkan Chrisann.
"Dia masih lagi terkejut, suka menerima ada orang tergamak berbuat demikian kepadanya. Kami sedang berusaha memberikan motivasi, namun, sehingga dia kembali ke tanah air, saya tidak fikir dia atau sesiapa sahaja daripada kita boleh bernafas dengan sempurna.”