Kim Kardashian terima 150 hadiah daripada Kanye West, netizen anggap ia pembaziran
Syafique Shuib
Disember 29, 2015 14:01 MYT
Disember 29, 2015 14:01 MYT
BINTANG realiti TV Kim Kardashian dikhabarkan menerima 150 hadiah Hari Krismas daripada suaminya rapper terkenal Kanye West.
Menurut Vanity Fair, perkara ini didedahkan oleh pasangan selebriti itu sendiri menerusi pengstriman langsung di laman web dan aplikasi Kim Kardashian.
Kim yang terkenal menerusi program Keeping Up with the Kardashians berkata Kanye tidak membeli belah dengan sendiri tetapi menghantar pekerja beliau ke seluruh dunia dan memantau setiap pembelian.
“Dia menghantar pembantu peribadi ke Itali dan membeli belah menerusi Skype,” kata Kim dalam video pengstriman itu, dipetik dari VanityFair.com.
Menurut Entertainment Tonight, Kim menerima pelbagai hadiah mewah daripada beberapa jenama besar seperti Louis Vuitton, Prada, dan Saint Laurent.
Terkenal dengan kehidupan mewah, netizen tidak hairan dengan jumlah hadiah yang diterima Kim.
Ada yang menganggap ia satu pembaziran dan lebih baik jika Kanye West membantu mereka yang tidak berkemampuan.
Minggu lepas, Kim melancarkan papan kekunci emoji jenamanya sendiri yang dinamakan 'Kimoji'.
Kimoji dilancarkan di Apple App Store dan jutaan peminat Kardashian mula memuat turunnya sebaik sahaja ia dilancarkan.