Kilafairy pernah alami masalah berat badan hingga tak keluar rumah
Siti Hajar Jamaludin
Jun 28, 2019 18:37 MYT
Jun 28, 2019 18:37 MYT
KILAFAIRY dilihat rakyat Malaysia sebagai seorang ikon. Mana tidaknya, dengan hampir 900,000 pengikut di akaun rasmi Instagram miliknya, beliau mempunyai pengaruh yang begitu besar terhadap orang ramai.
Namun, tidak ramai yang tahu bahawa penyanyi tersebut pada suatu ketika mengalami masalah berat badan.
Disebabkan isu itu, penyanyi dan pelakon Kilafairy atau nama sebenarnya Syakila Nisa Jahangir Khan, 27 tahun, mengalami masalah keyakinan diri sehingga tidak keluar rumah atau memuat naik gambar di mana-mana platform atas talian.
“Bayangkan, seorang yang berisi macam saya, nampak bertambah berisi dalam kaca TV. Nak menjalani penggambaran pun jadi macam tak seronok, dan rasa ‘insecure’”
“Keyakinan diri itu perlu ada pada setiap daripada kita. Tetapi, jika ada sesuatu yang melemahkan segala-galanya, kita kena pantas bertindak melakukan perubahan,” katanya.
Beliau berkongsi pengalamannya sewaktu majlis pelancaran produk kesihatan dan pelangsing badan cetusan ideanya sendiri, KILAFIT, di Cheras pada Khamis.
Turut hadir pada acara tersebut adalah rakan kongsi KILAFIT, Asyraf Khalid, Adib Khalid, Tya Ariffin, Raysha Senrose, dan Azira Shafinaz dan Sophia Liana dari kumpulan DeFam.