KidDin bergabung jawab segala isu Konsert Search 'Gemuruh'
Raja Hisyam Raja Zaid
April 28, 2024 13:40 MYT
April 28, 2024 13:40 MYT
KONSERT Search 'Gemuruh' nampaknya semakin diperkatakan disebabkan beberapa isu yang ditimbulkan sehari dua ini.
Buka sahaja ketiadaan Denden dan Yantoi, bahkan juga isu-isu lain termasuk sound engineering bahkan penggunaan nama Search itu sendiri oleh anggota lama yang tidak sehaluan.
Semalam juga berkumandang kenyataan oleh pemain bass asal kumpulan itu iaitu Nasir yang mendakwa Kid dan Din seharusnya melucutkan penggunaan nama Search kerana dianggap tidak layak menggunakannya.
Bagaimanapun dalam sidang media yang diadakan semalam, pemilik 'bunyi' Search Kid dan Din tenang menjawab satu persatu persoalan yang dilontarkan oleh gerombolan wartawan yang inginkan jawapan pasti.
Din menjelaskan, ketiadaan Denden dan Yantoi selaku vokalis dan pemain bass bukanlah sesuatu yang menghairankan.
Ia memandangkan perbincangan tentang konsert yang bakal dianjurkan pada Jun ini telahpun diadakan dan masing-masing memiliki komitmen tertentu.
Bahkan jelas Din, beliau sendiri sejak dari dahulu telah menetapkan pendirian bahawa tiada mana-mana anggota Search ketika ini sebenarnya adalah anggota kekal.
"Saya ingat sejak dahulu lagi saya sudah nyatakan bahawa line up yang ada ini bukanlah kekal.
"Malah pernah wartawan bertanyakan saya dahulu (sewaktu penubuhan Search dengan Denden) kenapa tak ambil penyanyi lokal dan saya pernah jawab bahawa saya mungkin akan mengambil vokalis tempatan tapi bukan waktu itu," katanya.
Denden juga buat masa ini katanya ada ketikanya bergerak secara solo tanpa sebarang halangan.
Jelas Kid pula, keutamaan sebenarnya telah diberikan kepada Yantoi untuk posisi bass bagi konsert Gemuruh namun beliau tidak dapat bersama menjayakannya memandangkan sudah lebih awal terikat dengan komitmen lain.
"Saya sudah pastinya meletakkan Yan sebagai keutamaan dalam konsert ini tetapi malangnya ia tidak dapat dilaksanakan memandangkan beliau terlebih awal sudah mempunyai komitmen lain.
"Anggota yang ada ini pun bukanlan total kekal dan ia juga terserah kepada peminat untuk menerimanya," jelasnya lagi.
Begitu juga soal membabitkan penataan bunyi yang sehari dua ini agak menimbulkan kontroversi.
Jelas Kid, ia bukanlah isu memandang tidak membabitkan sebarang perjanjian atau kontrak yang sudahpun ditandatangani oleh mana-mana pihak.
Sebaliknya pihaknya serta penganjur sudahpun berbincang dan bersetuju untuk memilih pihak yang dirasakan sesuai bagi menjayakan konsert Gemuruh.
"Tiada sebarang perjanjian sebenarnya dan apa yang berlaku adalah secara lisan saja.
"Dan kita secara profesionalnya tidak melakukan keputusan itu seorang... sebaliknya juga bergantung kepada pihak penganjur untuk menentukanya.
"Memang sebagai mana-mana artis atau kumpulan baik rock dan sebagainya adalah menjadi impian untuk mempunyai production tertentu pada setiap konsert namun ia tidaklah begitu bila dalam konteks professionalisme dan kerjaya yang memerlukan keterlibatan semua pihak," katanya lagi.
Sementara itu bagi vokalis kali ini Amir Masdi pula, ini adalah satu peluang yang amat besar untuknya sekalipun sedar ia tidak mudah.
Malah dia sendiri mengakui akan berhadapan dengan risiko perbandingan yang bakal dibuat oleh peminat tegar Search sebelum ini.
"Saya sedar dan perbandingan itu akan berlaku di mana-mana sahaja. Soalnya bagi saya bagaimana saya akan menyerap perkara itu sama ada untuk menjadikanya sebagai pembakar semangat untuk pergi lebih jauh atau sebaliknya.
"Tawaran yang dibuat ini pun (bersama Search) adalah sesuatu yang mengejutkan namun ia adalah peluang yang amat besar bagi saya ketika ini," jelasnya lagi.
Sebagai pembuka aktiviti seni tahun ini, Din dan Kid yang lebih mesra dengan panggilan ‘KidDin’ akan tampil menerusi konsert istimewa berjudul ‘Gemuruh’ di Zepp Kuala Lumpur pada Jun nanti.
Konsert anjuran Big Stage Entertainment Channel dengan kerjasama MyMuzik Sendiri Entertainment ini akan berlangsung pada 29 Jun 2024, jam 8 malam.
Konsert Search ‘Gemuruh’ akan menampilkan Kid dan Din bersama Min (dram) dan Rozaimie (pemain bass Barbarik sebagai Sessionist) serta Amir Masdi sebagai penyanyi undangan.
Segmen persembahan khas pula akan menampilkan Ritz Metalasia, Muzza, Addy Cradle, Rozario Rasul, Ujang Exist, Fly Halizor dan Jovita Pearl (X Factor Indonesia).
Keseluruhan konsert dijangka mengambil masa kira-kira dua jam 45 minit dengan persembahan 16 lagu tanpa henti
Peminat yang ingin menyaksikan konsert tersebut boleh mendapatkan tiket yang sudah mula dijual bermula dari harga RM178 hingga RM6,000.