To'ki mahu lupakan insiden ditikam, mahu tumpu kepada kerjaya

Raja Hisyam Raja Zaid
Jun 14, 2019 12:12 MYT
Toki terpaksa menjalani pembedahan pada bahagian tangan selepas ditikam oleh individu yang tidak dikenalinya dalam kejadian yang berlaku di Selayang. - Foto fail/SINAR HARIAN
Penyanyi, To'ki atau nama sebenarnya Mohd Zaki Mansur, 52, yang cedera akibat dirompak pada 8 Jun lalu kini beransur pulih.
Penyanyi yang sebelum ini terkenal dengan lagu ‘Biasan’ itu ketika dihubungi oleh Astro AWANI berkata, dia telah dibenarkan keluar daripada hospital sejak dua hari lalu.
“Alhamdulillah saya sekarang bertambah baik. Terima kasih yang mendoakan saya dan juga sahabat-sahabat saya yang datang menziarah. Saya pun sudah boleh dah bawa motor dan pandu kereta,” katanya ketika dihubungi hari ini.
BACA: Penyanyi To'ki cedera ditikam penyamun
Jelas To'ki beliau tidak berhasrat untuk melaporkan kejadian yang menimpanya ketika ini.
Sebaliknya akan menumpukan perhatian pada kerjayanya ketika ini kerana perlu memenuhi jadual persembahan yang akan diadakan.
“Saya memang ada persembahan yang akan diadakan pada Khamis ini. Sepatutnya semalam pun ada tetapi tidak sempat, jelasnya yang baru keluar dari klinik untuk membeli ubat.
Pada minggu lalu To’ki terpaksa menjalani pembedahan pada bahagian tangan selepas ditikam oleh individu yang tidak dikenalinya dalam kejadian yang berlaku di Selayang.
#Astro #Astro Awani #Biasan #cedera #ditikam #Hospital #kereta #Selayang #To'ki
;