Khairul Aming dedah tidak memiliki rumah, hanya ada satu pinjaman bank

Gempak
September 27, 2023 00:33 MYT
Khairul Aming berkata, satu-satunya pinjaman wang daripada bank yang dimilikinya sekarang hanyalah untuk kereta peribadinya, Perodua Bezza. - Gambar Gempak
Pempengaruh Khairul Aming mendedahkan yang dia tidak mempunyai aset seperti rumah dan kereta mewah.
Sebaliknya, lelaki yang cukup terkenal dengan video memasak pendek itu melabur wangnya dengan membeli kilang dan mesin untuk memudahkan kerja-kerja pengeluaran jenama sambal miliknya.
Menerusi sepotong video yang dikongsikan oleh netizen, Khairul Aming berkata, satu-satunya pinjaman wang daripada bank yang dimilikinya sekarang hanyalah untuk kereta peribadinya, Perodua Bezza.
“Saya memang tiada loan (pinjaman wang daripada bank). The only loan yang saya ada hanyalah loan kereta Bezza, itu sahaja.
“Yang lain adalah aset yang sudah saya beli dan yang sudah saya selesaikan bayarannya. Kalau pergi kilang, mesin harga juta-juta tu semua dah habis bayar dan menjadi aset saya.
“Saya tiada rumah, tiada kereta mewah. Ada belikan mak kereta tapi aset saya cuma kilang,” katanya.
Menerusi komen-komen yang ditinggalkan oleh pengguna media sosial, rata-rata menjadikan pendedahan Khairul Aming sebagai inspirasi, selain ada juga yang mencadangkan supaya figura itu menyelesaikan hutang kenderaannya secara ‘full settlement’. - Gempak
#perodua bezza #membeli kilang #media sosial #kereta mewah
;