Kevin Spacey diarah bayar AS$31 juta kepada pengeluar 'House of Cards'
Astro Awani
Ogos 6, 2022 09:30 MYT
Ogos 6, 2022 09:30 MYT
LOS ANGELES: Aktor Kevin Spacey dan syarikat produksinya diarah membayar AS$31 juta kepada pengeluar siri 'House of Cards' kerana kerugian yang disebabkan pemecatannya susulan daripada dakwaan pencabulan seksual melibatkan beliau.
Perintah dikeluarkan hakim Mahkamah Tinggi Los Angeles, Mel Red Recana.
Dalam penghakimannya, Recana memaklumkan Spacey dan barisan peguamnya gagal membuktikan pemecatannya tidak menyebabkan kerugian.
Penimbang tara dalam kes ini juga mendapati Spacey melanggar tuntutan kontrak apabila terlibat dengan dakwaan salah laku.
Ia menyebabkan Spacey dipecat.
Pemecatannya juga mendorong kepada penggantungan siri 'House of Cards' untuk musim keenam.
Karekter Spacey dalam siri berkenaan juga terpaksa dibuang.
Perubahan ini menyebabkan pengeluar siri berkenaan mengalami kerugian.
Karier pemenang Oscar berusia 63 tahun itu terjejas selepas gerakan #metoo mendedahkan salah laku beliau.
Bulan lalu, Spacey mengaku tidak bersalah di mahkamah di London atas dakwaan mencabul tiga lelaki.
Beberapa kes jenayah turut difailkan terhadap Spacey.