Ketua Aktivis PPIM Toqqi mengamuk, pengajaran buat samseng jalanan!

Gempak
Ogos 27, 2018 05:56 MYT
Dalam video itu turut menyatakan dua samseng jalanan tersebut tidak memiliki surat dan kad kuasa yang sah untuk menarik kereta pengguna lain. Astro GEMPAK
Tindakan Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan atau mesra digelar Toqqi bersemuka dengan samseng jalanan pada Ahad membela nasib ramai pengguna jalan raya yang pernah menjadi mangsa.
Merujuk pada satu video yang dimuat naik badan bukan kerajaan (NGO) itu di Instagram, @ppim.official menunjukkan Toqqi bertekak dengan salah seorang samseng jalanan di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur dalam satu kejadian berlaku pada jam 1.30 petang.
Dalam video itu turut menyatakan dua samseng jalanan tersebut tidak memiliki surat dan kad kuasa yang sah untuk menarik kereta pengguna lain.
Menariknya, kereta yang dinaiki Toqqi mengekori sebuah kereta warna putih yang bertindak cuba menahan sebuah kenderaan lain secara paksa.
Bagaimanapun, kenderaan pengguna yang cuba ditahan samseng jalanan itu tidak berhenti lalu Toqqi bersama anggota PPIM dalam kereta itu mengekori kereta samseng berkenaan sehingga berhenti di satu persimpangan jalan.
"Tindakan mencurigakan memaksa Toqqi turun bersemuka dan hasil soal jawab mendapati kedua mereka tidak memiliki surat dan kad kuasa yang sah. Sikap tidak mahu memberi kerjasama yang baik menimbulkan pertelingkahan antara pihak PPIM dan samseng terbabit.
"Menjadi persoalan apabila SOP yang sepatutnya dipraktikkan oleh pihak bank dan penarik kenderaan tidak diendahkan sesetengan pihak," katanya.
PPIM juga menyatakan kebimbangan mengenai kebocoran data peribadi pemilik kenderaan yang dapat diperoleh dengan mudah oleh pihak ketiga seperti samseng jalanan berkenaan.
Teks oleh: Elrafaei Sapi
#data peribadi #Instagram #kebocoran data #Ketua Aktivis #Nadzim Johan #NGO #pemilik kenderaan #pengguna jalan raya #Persatuan Pengguna Islam Malaysia #PPIM #samseng #samseng jalanan #Toqqi #video
;