'Keterlaluan' - Freddie Fernandez komen kemelut babitkan kumpulan XPDC

Raja Hisyam Raja Zaid
Februari 20, 2024 16:05 MYT
FREDDIE FERNANDEZ: Jika ada jenama XPDC yang ketiga, saya rasakan ia agak keterlaluan, apatah sekiranya tiada ahli XPDC asal. -Gambar fail/Bernama
KONTROVERSI membabitkan 'salah guna' nama kumpulan heavy metal terkenal tanah air akhirnya mendapat respons daripada Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan).
Presidennya Datuk Freddie Fernandez melihat isu tersebut sudah sampai ke peringkat "keterlaluan" sekiranya ada usaha untuk mewujudkan sebuah lagi kumpulan muzik dengan nama dan lagu yang sama.
Ketika mengulas isu tersebut, beliau berkata hanya dua kumpulan daripada anggota asal XPDC iaitu XPDC Kita Pengyu dan XPDC Militia yang relevan untuk berada dalam industri muzik tanah air.
Malah, jelasnya, sebarang usaha untuk mewujudkan satu lagi kumpulan muzik dengan menggunakan nama dan genre yang sama hanya akan melahirkan versi tiruan yang merosakkan kualiti dan jenama.
“Merujuk kepada kumpulan XPDC di bawah Izo dan XPDC Zua Amy, saya ada terbaca ia masih di bawah keizinan pemegang jenama XPDC iaitu Life Records.
"Masih dirasakan relevan juga kerana kedua-duanya punya ahli asal XPDC dan pernah terbit album di atas nama XPDC.”
“Jika ada jenama XPDC yang ketiga, saya rasa ia agak keterlaluan, apatah lagi sekiranya tiada ahli XPDC asal.
"Jika sebagai tribute band atau impersonator, saya kata ya. Tapi sebagai alternatif bagi XPDC, tidak sama sekali,” katanya kepada Astro AWANI pada Isnin
Tambahnya, polemik tersebut dilihat bertujuan memudahkan mereka untuk mendapat tempat di hati peminat, terutamanya bagi mendapatkan persembahan pentas berasaskan populariti dan pengaruh kumpulan asal.
Jelas Freddie, umum mengetahui bahawa XPDC yang diiktiraf merupakan kumpulan hard rock pilihan marhean setelah sekian lama.
Malah, katanya, mereka punya jenama dan pengaruh tersendiri, dan lagu-lagunya juga malar segar sehingga kini.
Freddie pada masa sama menyeru agar pengkarya asal dalam industri muzik tanah air, termasuk XPDC, mengambil langkah-langkah yang perlu sebagai usaha menjaga kualiti hasil ciptaan dan jenama mereka.
"Di sini juga saya menyeru para pengkarya agar peka tentang harta intelek. Kita punya Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) yang begitu efisien menjaga harta intelek anda.
"Jadi jika anda sebagai pengasas atau pemegang paten, anda harus mendaftar agar tidak menjadi perebutan di masa akan datang," katanya lagi.
Menurut Freddie, isu perebutan nama dalam kalangan pemuzik bukanlah asing sama ada di Malaysia mahupun di luar negara.
Malah, jika di Barat, apabila sesebuah kumpulan berpecah atau ahlinya keluar kumpulan, biasanya mereka akan menerbitkan jenama sendiri.
Sebagai contoh, Ronnie James Dio menubuhkan Dio setelah keluar dari Black Sabbath dan David Coverdale pula menubuhkan Whitesnake setelah keluar dari Deep Purple, kata Freddie.
“Perebutan nama sering berlaku dalam kalangan kumpulan muzik kita, kerana kita punyai pasaran yang kecil, jadi jalan mudah ialah mengguna pakai legasi yang pernah dimiliki sama ada dari segi nama, lagu dan karakter,” katanya lagi.
Kehadiran kumpulan tiruan, katanya, sedikit sebanyak akan mengelirukan peminat dan membuat mereka berpecah belah selain merosakkan harga pasaran dalam industri muzik tanah air.
"Harga pasaran kumpulan yang mempunyai nama berganda sebegini berbeza-beza kerana berebutkan persembahan pentas menggunakan jenama yang sama.
"Ia satu suasana yang tidak harmoni," kata Freddie lagi.
Beliau yang turut mempunyai pengalaman dalam Revolvers amat bersyukur kerana keadaan sebegitu tidak berlaku kepada kumpulan yang pernah dianggotainya dahulu.
"Apa pun pengalaman saya sebagai anak kugiran Revolvers amat bersyukur kerana tidak wujud 'Real Revolvers'. Contohnya, apabila mendiang Lewis Pragasam keluar dari kumpulan, beliau menubuhkan Asiabeat.
"Berbeza pendapat ketika dalam kumpulan itu perkara biasa, tapi kami tetap brothers sampai bila-bila; tidak bergaduh kerana semua pemuzik adalah bersaudara," tegas Freddie.
Beliau berkata demikian ketika diminta memberi komen isu berkaitan sebuah kumpulan muzik yang didakwa menyalahgunakan nama dan lagu kumpulan XPDC dengan mengadakan beberapa persembahan di beberapa acara.
Isu tersebut telah menimbulkan kekecohan sekali gus mencetuskan kemarahan anggota asal XPDC yang berasakan karya mereka dirompak dan disalah guna oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
#Freddie Fernandez #XPDC #band tiruan #persatuan karyawan malaysia
;