Kesyukuran, kemaafan dan kekeluargaan tema utama iklan Raya 2015

Astro Awani
Julai 17, 2015 11:12 MYT
Dengan tibanya Syawal, pastinya kaca televisyen akan dipenuhi dengan iklan-iklan Hari Raya.
Dengan tibanya Syawal, kaca televisyen akan dipenuhi dengan iklan-iklan Hari Raya. Ada yang menghiburkan dan ada juga mempunyai mesej yang begitu mendalam.
Beberapa jenama terkemuka tanahair menampilkan iklan masing-masing dengan mesej kesyukuran, kemaafan dan kekeluargaan sebagai tema utama.
Astro menampilkan iklan bertajuk 'Tiada Noktah Untuk Kemaafan' yang memaparkan sebuah kisah benar mengenai seorang pesakit yang juga merupakan bekas penagih dadah bernama Herman dan bapanya.
Menampilkan elemen nilai kemaafan dalam menempuh realiti hari, kisah keluarga ini belum pernah dikongsi kepada umum sebelum ini.
Syarikat pemaju hartanah Naza TTDI tampil dengan tema kekeluargaan dengan "Bandar-Raya".
Ia mengikuti pasangan yang dibintangi AR Badul dan Raja Ema.
Oleh kerana kesibukan, anak mereka tidak dapat pulang. Pasangan ini terus ke bandar untuk beraya bersama anak, menantu dan cucu.
Namun, apabila tiba di rumah mereka, semua sibuk dengan hal masing-masing.
Iklan ini mengupas bagaimana pasangan ini dapat mengajar mereka tentang pentingnya hubungan kekeluargaan.
Masih lagi dengan tema kekeluargaan, iklan Universiti Sains Malaysia (USM) menampilkan kisah Hussin yang kehilangan kedua ibu-bapa dan ahli keluarga.
Tanpa kampung dan orang tersayang, seorang rakan membawa Hussin pulang ke kampungnya untuk menyambut Hari Raya dengan keluarga baru.
Bagi tema kesyukuran, iklan Raya Malaysia Airlines bertajuk "Fitrah" dan mengikuti perjalanan Yassin yang belajar tentang kesyukuran walaupun harus mengharungi pelbagai cabaran dan dugaan.
Iklan TM bertajuk "#pakcikmisteri" yang mengikuti kisah Azura yang kehilangan dompet dan kunci kereta setelah makan malam bersama beberapa teman.
Pada malam itu, seorang pakcik membantu beliau dengan rela hati.
Tanpa diketahui Azura, pakcik itu memberikan semua pendapatannya pada hari itu untuk membantu Azura.
Iklan TV3 bertajuk "#SyukurSelalu" dengan mesej kebahagiaan dapat dizahirkan oleh sekecil mana kurniaan illahi.
Tenaga Nasional Berhad (TNB) menampilkan iklan bertajuk “Sinar Baru”. Mesej utama adalah tentang transformasi diri dan menjadi seorang individu yang sentiasa memperbaiki diri dan maju kehadapan.
Jabatan Imigresen Malaysia tidak terkecuali dalam menghasilkan iklan Hari Raya.
Bertajuk “Baju Raya Hitam”, ia mengisahkan tentang pegawai-pegawai imigresen yang harus bertugas pada Hari Raya.
Ia merupakan satu pengorbanan yang harus dilakukan demi keselamatan negara.
Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Perak tampil dengan filem pendek dengan kisah seorang anak yang merindui ayah yang dipenjarakan.
Namun akhirnya mereka bersatu semula untuk menyambut Aidilfitri.
Sementara itu, Maxis dan Waze menampilkan iklan bertujuan untuk mengingati para pemandu untuk berhati-hati ketika memandu. Ia juga untuk mempromosi ciri Safe Mode Kids.
Stesen RTM menampilkan iklan bertajuk "#InikanRaya".
Pada mulanya sekumpulan anak-anak muda lebih selesa berada di rumah dengan peranti masing-masing. Membeli belah pun menerusi kedai atas talian.
Kemudian mereka diajak untu keluar dan menikmati kemeriahan membeli belah di ibu kota sebelum pulang ke kampung.
#Astro #hari raya #iklan #Malaysia Airlines #MAS #Maxis #Naza TTDI #TM #waze
;