Kesusahan Zaiton Sameon dapat perhatian LZS
Sinar Harian
September 25, 2023 21:55 MYT
September 25, 2023 21:55 MYT
KEPAYAHAN hidup penyanyi popular era 80-an, Zaiton Sameon, 67, yang memohon bantuan kewangan kerana hidup sebatang kara mendapat perhatian Lembaga Zakat Selangor (LZS).
LZS menerusi kemas kini di Facebook rasminya memaklumkan, pihaknya telah turun padang bagi mendapatkan maklumat yang diperlukan bagi meringankan beban penyanyi yang popular dengan lagu Menaruh Harapan itu.
Menurutnya, banyak jasa ditabur penyanyi veteran itu menghiburkan pendengar dengan lagu-lagu yang masih lagi dimainkan di beberapa stesen radio.
"Siapa sangka dahulunya beliau berada di puncak kerjaya tapi kini terpaksa beralah dengan takdir.
"Beliau tetap cuba untuk bangkit semula dengan keringatnya tapi masih lagi tidak berjaya dengan ekonomi sekarang. Hanya mengharapkan bantuan daripada kenalan rapatnya untuk teruskan kehidupannya," menurut perkongsian tersebut pada Isnin.
Baru-baru ini, Zaiton dilapor memohon bantuan kewangan dan terpaksa menumpang di rumah anak angkatnya serta kurang mendapat tawaran menyanyi.
Zaiton mengalami kemalangan jalan raya di Batang Kali, Selangor pada 1990, mengakibatkan anak tunggalnya, Azirwan Abu Bakar yang ketika itu berusia 13 tahun meninggal dunia manakala beliau mengalami hilang ingatan sementara.
LZS memaklumkan, kesempitan hidup penyanyi tersebut juga telah mendapat perhatian pelbagai pihak yang prihatin dengan nasib wanita tersebut.
"Kami di Zakat Selangor terpanggil untuk menziarahi legenda hebat ini dan ingin bertanya tentang keadaannya.
"Ketika ziarah tempoh hari, kami cuba bantu beliau untuk mengisi borang zakat disusuli bantuan sewa bilik, kewangan dan makanan secara bulanan yang akan disalurkan awal Oktober nanti," ujar kenyataan itu.
Tambah kenyataan itu, wang kecemasan turut diserahkan kepada Zaiton untuk keperluannya.
" Insya-ALLAH, diharap dengan hasil zakat yang ditunaikan ini, dapatlah kita saksikan penyanyi legenda kita, Zaiton Sameon terus sihat dan sentiasa dalam keadaan yang baik," tambah kenyataan itu.
Sementara itu pada Ahad, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Mohd Na'im Mokhtar menyampaikan bantuan wang tunai RM3,000 melalui inisiatif hasil kerjasama Yayasan Taqwa Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) kepada Zaiton diwakili ahli keluarga angkat penyanyi tersebut di Bukit Indah, Ampang
Zaiton tiada di rumah ketika penyampaian bantuan itu kerana berada di Melaka atas urusan peribadi namun Mohd Na'im sempat bertanya khabar dengan wanita itu menerusi panggilan video.