Kesan kanser payudara dengan pemeriksaan awal

Bernama
Januari 7, 2013 15:00 MYT
Kanser payudara adalah antara kanser yang sering mengancam wanita selepas kanser pangkal rahim selain disifatkan penyumbang utama kepada peningkatan kadar kematian khususnya wanita berusia lebih 40 tahun.
Oleh itu, setiap wanita seharusnya lebih peka dan prihatin terhadap bahaya kanser payudara dan dinasihati menjalani pemeriksaan awal untuk melawan kanser yang masih di peringkat awal.
Setiap 100,000 wanita di dunia, 127 orang daripadanya adalah penderita kanser payudara manakala 25 kematian disebabkan kanser itu.
Di Malaysia, satu daripada 20 wanita berisiko mendapat kanser payudara sepanjang hidup.
Penyanyi veteran, Salamiah Hassan, yang mula dikenali di persada seni tanahair sekitar tahun 80-an dengan lagu 'Gelombang' mengetahui dirinya penghidap kanser payu dara pada umur 30 tahun.
"Saya hanya mendiamkan diri kerana tidak mahu orang sekeliling bersimpati akan penyakit menimpa. Anak saya juga pada awalnya tidak mengetahui mengenai perkara itu sehinggalah mereka sendiri mengsyaki sesuatu."
"Pada hari berkenaan, selepas menjalani rawatan kemoterapi, tanpa berkata apa-apa saya terus masuk ke dalam bilik kerana kesan daripada rawatan itu menyebabkan saya muntah-muntah. Daripada situ anak-anak mengetahui saya sedang berperang melawan penyakit itu," katanya.
"Saya boleh katakan diri saya adalah seorang yang masih boleh memakai 'topeng' seolah-olah tiada apa berlaku tetapi sebenarnya dalam hati tidak dinafikan ada perasaan takut dan sedih.
Bagaimanapun, Salamiah berpandangan positif. Sikap berputus-asa untuk berusaha sembuh ditolak ketepi kerana baginya ia adalah aura negatif yang membantutkan usaha untuk memastikan tubuh badannya kembali sihat seperti biasa.
Beliau berkata tanda-tanda kanser payudara wujud dalam badannya selepas mengenal pasti dan melihat berlaku perubahan pantas iaitu dalam masa sebulan ke atas ketulan yang tumbuh di bawah ketiaknya sehingga menyebabkan tangannya semacam kebas dan mendapat demam panas.
"Ketika itu saya tidak berapa pasti adakah ia betul-betul tanda berkenaan kanser," katanya.
Selepas pasti dirinya menunjukkan tanda-tanda sedemikian (ketulan di bawah ketiak) barulah beliau berjumpa doktor bagi menjalankan pemeriksaan kesihatan selanjutnya.
"Satu perkara yang terus menguatkan saya bila mana doktor yang merawat memberitahu bahawa saya masih di tahap satu iaitu peringkat awal kanser dan peluang untuk selamat daripada kanser tersebut adalah tinggi," katanya.
Atas sebab itu beliau menyeru kepada wanita seluruh Malaysia agar berani dan membuang rasa takut untuk melakukan pemeriksaan awal mengenai tahap kesihatan terutama sekali berkaitan kanser payudara.
Beliau yang sudah pulih sepenuhnya daripada kanser payudara itu memberitahu beliau adakalanya lupa bahawa dirinya pernah menghidap kanser melainkan sekiranya beliau membaca suratkhabar mengenai penghidap kanser yang semakin meningkat kini.
#kanser pangkal rahim #kanser payudara #kimoterapi #Salamiah Hassan
;