Kes seleweng dana: Peguam nafi Arina belum 'move on' dengan suami BCL, Tiko

Agensi
Jun 6, 2024 18:12 MYT
Tiko (kanan) mendirikan rumah tangga dengan BCL pada 2 Disember tahun lalu - Foto/Instagram Tiko Aryawardhana
JAKARTA: Peguam kepada Arina Winarto, Leo Siregar menafikan bahawa anak guamnya belum 'move on' dengan bekas suami, Tiko Aryawardhana, yang kini mendirikan rumah tangga dengan penyanyi terkenal Indonesia, Bunga Citra Lestari (BCL).
Penafian tersebut sehubungan dakwaan bahawa Arina membuat tuduhan Tiko menyeleweng dana milik syarikat PT Arjuna Advaya Sanjaya (AAS) berjumlah RM1.7 juta kerana cemburu dengan kebahagiaan bekas suaminya.
"Kalau gagal 'move on' tidak mungkin kerana pada Februari 2022 mereka sudah bercerai.
"Ia bermaksud urusan rumah tangga mereka sudah selesai," kata Leo memetik laporan portal Detikhot.com pada Khamis.
Terdahulu, beberapa media antarabangsa dan tempatan melaporkan peguam Tiko, Irfan Aghasar mendakwa Arina masih tidak dapat menerima hakikat kebahagiaan anak guamnya dengan BCL.
Dakwa Irfan lagi, tuduhan Tiko menyeleweng dana syarikat juga dibuat kerana masalah yang masih belum selesai antara anak guamnya dan Arina.
Tiko yang juga ahli perniagaan didakwa menggelapkan sejumlah wang bernilai RM1.7 juta milik syarikatnya AAS.
Memetik laporan Kompas, syarikat perusahaan makanan dan minuman tersebut ditubuhkan bersama bekas isterinya, Arina dan perbuatan itu didakwa dilakukan antara 2015 hingga 2021.
Rentetan itu, Arina yang bertindak sebagai pemilik dan pemegang saham syarikat membuat laporan di Balai Polis Jakarta Selatan, baru-baru ini.
Tiko dan Arina mendirikan rumah tangga pada 26 Jun 2014 tetapi pasangan itu berpisah pada 28 Oktober 2021.
Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan tiga cahaya mata perempuan termasuk sepasang kembar.
Tiko kemudian mendirikan rumah tangga dengan BCL pada 2 Disember tahun lalu.
#Suami Bunga Citra Lestari #Tiko Aryawardhana didakwa seleweng #Arina Winarto #seleweng RM1 7 juta
;