Kes saman Puteri Sarah terhadap Ira Kazar selesai - Peguam Syamsul
Sinar Harian
Jun 14, 2023 18:49 MYT
Jun 14, 2023 18:49 MYT
KUALA LUMPUR: Setelah kes cerai Syamsul Yusof dan Puteri Sarah berakhir di Mahkamah Rendah Syariah di sini pada Rabu, peguam syarie yang mewakili pengarah filem ‘Mat Kilau’ itu mengesahkan bahawa, isu saman Puteri Sarah terhadap bekas madunya, Ira Kazar telah selesai.
Peguam syarie, Azmi Mohd Rais berkata, ia membabitkan kes saman Puteri Sarah terhadap Ira yang didakwa mengganggu rumahtangganya.
Bagaimanapun, peguam itu berkata, maklumat terperinci mengenai isu tersebut tidak dapat didedahkan.
“Ya, semua kes selesai, ia berdasarkan penyelesaian penuh yang ditandatangani oleh Syamsul dan Puteri Sarah, pada malam Selasa,” katanya ketika ditanya mengenai status kes nusyuz, injunksi dan sivil Ira termasuk keluarganya.
Beliau berkata, penyelesaian berkenaan dibuat secara penuh dan muktamad, maka tiada sebarang isu yang timbul antara kedua-dua pihak.
Menurutnya, Syamsul atau nama sebenar, Mohd Shamsul Md Yusof bersama Puteri Sarah perlu merekodkan terma-terma persetujuan yang dicapai di mahkamah lain kelak.
Azmi berkata, prosiding pada Rabu hanya melibatkan kes-kes syariah antaranya hadanah, nusyuz dan edah.
Pada Jun 2022, Puteri Sarah memfailkan saman terhadap Ira selepas anak pelakon veteran itu didakwa mengganggu rumah tangganya.
Pada 4 Julai tahun sama, Mahkamah Sesyen di sini mengeluarkan perintah injunksi inter-parte (kedua-dua belah pihak) yang antara lainnya menyatakan Ira atau sesiapa yang mempunyai kaitan dengan Ira menjejaskan ketenteraman dan kedamaian Puteri Sarah dan keluarganya serta keluarga mentuanya termasuk suaminya, Syamsul.
Ira juga dihalang daripada mendekati atau berada dalam jarak 500 meter daripada Puteri Sarah, keluarganya dan keluarga mentuanya, suaminya atau sesiapa yang mempunyai kaitan dengan isteri pertama Syamsul itu.
Sementara itu, Puteri Sarah berkata, tiada komen selepas ditanya sama ada dia sedia untuk bertemu dengan bekas madunya di masa depan.
Pelakon ini juga enggan mengulas lanjut mengenai kes saman yang difailkan terhadap Ira sebelum ini.
“Mengenai kes itu, saya tak boleh dedahkan lebih lanjut,” katanya selepas prosiding kes cerainya.
Sementara itu, peguam syarie, Datuk Akberdin Abdul Kadir yang mewakili Puteri Sarah berkata, buat masa ini, maklumat lanjut mengenai saman Ira, tidak boleh didedahkan.
“Kes itu belum lagi dan tidak termasuk, setelah prosiding ditetapkan di mahkamah tinggi kelak, baru kami akan usulkan mengenai perkara itu.
“Setakat ini tak boleh dikongsi lagi, sebab kami kena ke mahkamah untuk merekodkan semua perkara, jadi ia masih dalam proses dan sulit,” katanya.
Pada tengah hari Rabu, Syamsul melafazkan cerai talak satu buat kali kedua terhadap isteri pertamanya, Puteri Sarah atau nama sebenarnya Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin, 38.
Semasa prosiding, mahkamah membenarkan permohonan cerai yang difailkan Puteri Sarah terhadap suaminya yang berusia 39 tahun, pada 16 Januari lalu.
Untuk rekod, Syamsul dan Puteri Sarah berkahwin pada 8 Mac 2014 dan dikurniakan sepasang cahaya mata iaitu Syaikhul Islam, 6, dan Sumayyah, 4.
Kemelut rumah tangga Syamsul dan Puteri Sarah mula diperkatakan sejak empat tahun lalu, tetapi anak kepada Datuk Yusof Haslam itu tidak pernah membuka mulut mengenai perkara itu.
Pada 6 Januari lalu, Syamsul akhirnya mengotakan janji untuk ‘meletak titik noktah’ pada teka-teki perhubungannya dengan Ira, apabila mengakui sudah menikahi wanita itu di Thailand.
Pelakon Lu Pikirlah Sendiri de Movie, Puteri Sarah kemudiannya memfailkan permohonan cerai terhadao Syamsul pada 16 Januari lalu, menerusi Tetuan Akberdin & Co. - Sinar Harian