Kes khalwat: Aliff Aziz, Ruhainies hadir bersama ke mahkamah
Gempak
Julai 3, 2024 09:40 MYT
Julai 3, 2024 09:40 MYT
KUALA LUMPUR: Pelakon Aliff Aziz dan Ruhainies hadir di Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan, di sini, kira-kira pukul 9 pagi, Rabu untuk prosiding bacaan pertuduhan kes khalwat.
Ruhainies atau nama sebenarnya Ruhainies Farehah Zainul Ilyas, 32, mengenakan jubah hitam manakala Aliff juga tampil dengan serba hitam.
Aliff dan Ruhainies diwakili oleh peguam Hadi Salleh dan Amirul Ashraf Ghani.
Aliff ketika ditemui media memohon agar semua orang mendoakan yang baik-baik untuk segala urusan prosiding pada hari ini.
“Masih pagi untuk semua orang, dan kita hargai rakan-rakan media yang hadir. Minta doa dari semua mendoakan yang baik-baik untuk hari ini, Insya-Allah," katanya.
Sementara itu, Ruhainies turut mengucapkan terima kasih atas sokongan yang diberikan oleh pihak media dan orang ramai.
“Terima kasih semua kerana sudir datang meluangkan masa hari ini . Doakan yang terbaik untuk kami semua,” katanya kepada Gempak.
Peguam Hadi pula menjelaskan hari ini akan direkodkan pengakuan daripada pihak Aliff dan Ruhainis.
“Untuk hari ini, sebutan di hadapan Mahkamah Tinggi untuk mahkamah baca pertuduhan khalwat yang sudah dibaca di mahkamah sebelum ini dan rekod pengakuan bersalah atau pengakuan tidak bersalah dari pihak-pihak ini,” katanya.
Pada 20 Jun lalu, Aliff dan Ruhainies dilaporkan dilihat hadir selama tiga jam ke Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur.
Pada 9 Mac lalu, media melaporkan Aliff ditangkap khalwat bersama Ruhainies di kondominium mewah di ibu negara.
Aliff dan bekas isterinya yang juga pelakon dan penyanyi Bella Astillah telah bercerai pada 13 Jun lalu di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur. - Gempak