Kes khalwat, Aliff Aziz mohon maaf - "Sepatutnya tunggu di lobi, tak terfikir…"
Gempak
Mac 14, 2024 23:55 MYT
Mac 14, 2024 23:55 MYT
KUALA LUMPUR: Selepas Ruhainies, pelakon Aliff Aziz juga tampil mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai kes tangkapan khalwatnya pada Jumaat lalu.
Aliff mengeluarkan kenyataan tersebut menerusi hantaran terbaharu di akaun Instagram miliknya pada Khamis.
Menurut Aliff, dia mengambil langkah untuk tidak mengeluarkan sebarang kenyataan sebelum ini bagi mengelakkan sebarang penyalahgunaan fakta oleh mana mana pihak.
“Ketika isu itu masih hangat diperkatakan, saya seboleh-bolehnya mengelakkan untuk mengeluarkan kenyataan kerana tidak mahu terlalu mengikut emosi dan terburu-buru.
“Pada awal hari kejadian, kami baru selesai menjalani penggambaran. Dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur, kami bertolak secara konvoi bersama PA Ruhainies.
“Ruhainis ada maklumkan, malam itu, adik beradiknya ada merancang untuk makan-makan di rumah.
“Jadi, memandangkan ada adik beradiknya yang lain, saya rasa, tak ada masalah kalau saya turut serta.
“Saya memang kenal dan berkawan dengan kakaknya Risteena dan sudah lama tidak berjumpa jadi saya rasa ianya suatu peluang untuk berjumpa dia dan adik beradiknya yang lain untuk makan malam,” jelasnya.
Menceritakan kronologi yang berlaku, Aliff yang memaklumkan dia tidak terfikir bahawa tindakannya yang naik ke atas rumah Ruhainies itu akan membawa kepada perkara tidak diingini.
“Semasa sampai di kondominium, saya bantu untuk bawa barang shooting miliknya ke atas sementara menunggu kakaknya yang mash dalam perjalanan,” jelasnya.
“Cara yang betul adalah, kita sepatutnya tunggu di lobi. Tapi, sebab tak terfikir ia akan bawa ke situasi yang tidak dijangka, saya naik ke rumahnya.
“Waktu itu, kami sedang menunggu Risteena untuk sampai dan sempat berborak. Tiba-tiba, pintu rumah diketuk.
“Ruhainies yang pada awalnya menyangka kakaknya sudah sampai, terdengar suara lelaki berbual di luar pintu.
“Kerana risau dan atas faktor keselamatan, dia kemudiannya menghubungi kakaknya dan bertanya sama ada dia dah sampai. Risteena beritahu, jangan buka pintu dulu dan tunggu sehingga dia sampai.
“Saya hanya berada di dalam rumah, di ruang tamu dan bila situasi itu berlaku, ia memang mengejutkan.
“Bila kakaknya sampai, dah ada penguat kuasa JAWI dan polis. Bahkan, ketika adik beradiknya sampai, dah ada ramai orang di luar.
“Kemudian, Ruhainies meminta kakaknya berbincang dengan pihak penguat kuasa, pintu akan dibuka sekiranya hanya ada penguat kuasa JAWI dan polis sahaja.
“Mereka sangat profesional dalam melakukan prosedur mereka. Seterusnya, kami hadir ke JAWI dan berikan kenyataan mengikut prosedur yang ditetapkan. Selepas memberi keterangan, kami pulang ke rumah,” katanya.
Aliff kemudiannya menyerahkan pada orang ramai sama ada mahu mempercayai atau sebaliknya.
Bagaimanapun, Aliff seikhlas hati memohon maaf atas apa yang berlaku.
“Kenyataan ini adalah saya tulis untuk sesiapa yang ingin mendengar. Bagaimanapun, yang salah tetap salah.
“Saya bukan nak menegakkan benang yang basah, tetapi, saya ingin memohon maaf atas kekhilafan saya. Namun, ingin saya jelaskan bahawa tidak ada apa-apa benda yang berlaku antara kami.
“Saya anggap ini sebagai ujian yang akan saya jadikan pengajaran dan akan lebih berhati-hati di masa akan datang.
“Dan disebabkan kekhilafan saya ini, akibatnya bukan sahaja merosakkan reputasi saya, tetapi juga keluarga,” ujarnya.
Terdahulu, media melaporkan penahanan pasangan pelakon selepas didakwa berkhalwat di sebuah kondominium mewah, di Kuala Lumpur pada Jumaat lalu. - Gempak