Kerana watak dalam Basic Instinct, Sharon Stone hilang hak penjagaan anak
Astro Awani
Mac 11, 2023 08:30 MYT
Mac 11, 2023 08:30 MYT
PELAKON Sharon Stone berkata salah satu daripada wataknya dalam sebuah filem popular menyebabkan dia kehilangan hak penjagaan anak pada tahun 2004.
Aksinya dalam filem Basic Instinct pada tahun 1992 menyebabkan persepsi terhadap dirinya tercemar, katanya dalam satu temu bual melalui podcast.
Stone berkata, hakim mahkamah bertanya pada anaknya, yang berusia 4 tahun ketika itu, jika dia mengetahui ibunya berlakon dalam filem seks.
Stone bersama suaminya Ron Bronstein mengambil Roan sebagai anak angkat pada tahun 2000.
Namun pasangan itu bercerai pada tahun 2004 dan hakim mahkamah memberi hak penjagaan penuh anak kepada Bronstein.
Perkara itu menyebabkan Stone kemurungan, katanya kepada Bruce Bozzi melalui rancangan Table for Two.
"Babak berkenaan hanya selama beberapa saat tetapi ia menyebabkan saya kehilangan hak penjagaan anak saya," katanya.
Stone turut dipandang serong oleh rakannya di Hollywood untuk wataknya sebagai Catherine Tramell, seorang penulis novel yang cuba menggoda pegawai penyiasat polis yang dilakonkan oleh Michael Douglas.
"Saya menerima pencalonan Golden Globe untuk watak itu dan apabila nama saya diumumkan, ramai gelak.
"Saya sangat malu ketika itu. Mereka tidak faham betapa sukarnya untuk melakonkan watak itu," katanya.
Sejak daripada insiden itu, Stone berkata, dia mengelak daripada menerima tawaran berlakon watak wanita yang berkait rapat dengan sisi gelap atau yang menuntut personaliti yang seksi dan menggiurkan.
Dalam masa sama, Stone menggesa peminatnya untuk tidak keliru membezakan antara lakonan seseorang pelakon itu dengan karakter mereka.