Keputusan representasi Sharnaaz gugur pertuduhan diketahui 17 Nov

Bernama
Oktober 31, 2023 15:21 MYT
Pelakon Sharnaaz Ahmad atau nama sebenarnya Sharnaaz Ahmad Bazir Ahmad, 38, hadir di Mahkamah Majistret hari ini. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Mahkamah Majistret di sini hari ini menetapkan 17 Nov untuk mengetahui keputusan status representasi pelakon Sharnaaz Ahmad bagi menggugurkan pertuduhan kes mencederakan seorang pengawal keselamatan di sebuah kondominium, tahun lepas.
Majistret Atiqah Mohamed @ Mohamad Saim menetapkan tarikh itu selepas Timbalan Pendakwa Raya Nadia Eleena Jamaluddin Akbal memaklumkan bahawa representasi yang dihantar pada 2 Mei lepas itu masih di peringkat pertimbangan Jabatan Peguam Negara (AGC).
"Oleh itu, pihak pendakwaan mohon tarikh lain untuk keputusan representasi tersebut," kata Nadia Eleena.
Hari ini, sepatutnya ditetapkan untuk keputusan representasi itu.
Peguam Mohamed Baharuden Mohamed Ariff yang mewakili Sharnaaz atau nama sebenarnya Sharnaaz Ahmad Bazir Ahmad, 38, mengesahkan pihak pembelaan tidak membantah permohonan pendakwaan itu.
Pelakon drama bersiri 'Bukan Kerana Aku Tak Cinta' itu didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Izzul Islam Awang, 27, di kawasan lif, pintu masuk sebuah blok di sebuah kondominium di Jalan Dutamas di sini pada 8.30 malam, 16 Jun 2022.
Sharnaaz dituduh mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Ketika ditemui pemberita selepas prosiding, Sharnaaz berkata walaupun kecewa dengan penangguhan keputusan representasi itu, proses mahkamah perlu dihormati.
"Kita perlu ikut prosedur dan menghormati mahkamah. Saya reda," katanya yang ditemani dua lagi peguamnya Datuk Abu Bakar Isa Ramat dan Datuk Wan Azmir Wan Majid.
-- BERNAMA
#Sharnaaz Ahmad #cederakan pengawal keselamatan #eputusan status representasi #gugurkan kes
;