Keputusan lafaz cerai Hafidz Roshdi, Shuhada 27 Julai depan

Sinar Harian
Jun 20, 2023 17:09 MYT
Sebelum ini, Nurul Shuhada mendakwa Hafidz telah melafazkan cerai sebanyak dua kali iaitu pada 22 Januari dan 22 Februari lalu. - Foto Gempak
SHAH ALAM: Mahkamah Rendah Syariah di sini pada Selasa, menetapkan keputusan pengesahan lafaz cerai pelakon, Hafidz Roshdi terhadap isterinya, Shuhada pada 27 Julai depan.
Hakim Syarie, Siti Rahmah Hussin memutuskan demikian selepas Hafidz atau nama sebenarnya, Muhammad Hafidz Roshdi, 29, selaku plaintif dan Shuhada sebagai defendan selesai memberi keterangan.
Mahkamah memerintahkan kedua-dua pihak memfailkan hujahan bertulis sebelum atau pada 13 Julai depan.
Dalam prosiding ini, Hafidz diwakili peguam syarie, Datuk Akberdin Abdul Kader sementara peguam syarie, Nurfarhana Abd Manaf bagi pihak Shuhada.
Sebelum ini, Shuhada atau nama penuhnya, Nurul Shuhada Mat Shukri, 29, mendakwa Hafidz telah melafazkan cerai sebanyak dua kali iaitu pada 22 Januari dan 22 Februari lalu.
Pada 22 Februari, Hafidz dipercayai melafazkan cerai menerusi panggilan telefon terhadap Nurul Shuhada di hadapan ahli keluarganya.
Kemelut rumah tangga salah seorang finalis Hero Remaja itu mula diperkatakan ramai apabila isterinya mendakwa pelakon itu mempunyai hubungan dengan wanita lain.
Pelakon drama Melastik Ke Hatimu itu mendirikan rumah tangga dengan Nurul Shuhada pada 30 April 2016 dan hasil perkongsian hidup mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Humairah, 6 dan Umar, 3. -- Sinar Harian
#Hafidz Roshdi #Nurul Shuhada Mat Shukri #lafaz cerai #Mahkamah Rendah Syariah
;