Keputusan juri telah memulihkan semula kehidupan saya - Johnny Depp

Hafizi Rosli
Jun 2, 2022 11:30 MYT
Depp berkata sepanjang enam tahun, kehidupan dia dan anak-anak serta individu rapat amat terjejas susulan dakwaan yang dikenakan ke atasnya. -Gambar fail/Reuters
KEPUTUSAN juri menganugerahkan ganti rugi AS$15 juta dalam kes saman fitnah terhadap Amber Heard disifatkan telah memulihkan semula kehidupannya, kata Johnny Depp.
Jelas pelakon terkenal Hollywood berusia 58 tahun itu, ini kerana sepanjang enam tahun, kehidupan dia dan anak-anak serta individu rapat amat terjejas susulan dakwaan yang dikenakan ke atasnya.
Cemuhan dan komen kebencian terhadapnya menjejaskan kehidupan serta kerjaya walaupun tiada pertuduhan dikenakan.
Menurut pelakon "Pirates of the Caribbean" itu, dia nekad untuk meneruskan kes itu sebelum ini dalam usaha memulihkan semula nama baiknya.
Dalam kenyataan terbaharu di akaun Instagram selepas penghakiman itu, Depp mengucapkan terima kasih kepada hakim, kakitangan mahkamah, pegawai polis dan pasukan peguamnya atas sokongan selama enam minggu perbicaraan.
Depp turut menutup kenyataannya dengan frasa "yang terbaik akan datang dan lembaran baharu akhirnya bermula".
Pada Khamis, juri memutuskan Depp dibayar ganti rugi AS$15 juta (RM65.7 juta) manakala bekas isterinya Heard menerima pampasan lebih kecil sebanyak AS$2 juta (RM8.7 juta) dalam kes saman fitnah pasangan selebriti itu.
Depp memfailkan tuntutan saman fitnah dengan ganti rugi sebanyak AS$50 juta terhadap Heard berhubung penulisannya untuk kolum Washington Post.
Heard kemudian memfailkan saman balas dengan menuntut AS$100 juta dan mendakwa dia sering didera secara fizikal oleh Depp.
Depp walau bagaimanapun menafikan pernah melakukan penderaan fizikal terhadap Heard, sebaliknya mendakwa bekas isterinya itu sebenarnya yang sering bertindak ganas.
#Johnny Depp #mahkamah #Pirates Of The Caribbean #Amber Heard
;