Kepayahan Zaiton Sameon terus dapat perhatian, terima bantuan Prihatin MADANI

Bernama
September 24, 2023 20:27 MYT
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Mohd Na'im Mokhtar menyampaikan sumbangan kepada keluarga angkat Zaiton Sameon, Ramlah Awang yang mewakili penyanyi itu pada Penyampaian Sumbangan untuk penyanyi tersebut. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Keperitan hidup penyanyi popular era 1980-an Zaiton Sameon, 67, terus mendapat perhatian apabila menerima bantuan menerusi inisiatif Prihatin MADANI hari ini.
Bantuan berupa wang tunai RM3,000 melalui inisiatif hasil kerjasama Yayasan Taqwa Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) itu disampaikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Mohd Na'im Mokhtar kepada ahli keluarga angkat penyanyi tersebut.
Zaiton, yang popular dengan lagu Menaruh Harapan, kini berada di Melaka atas urusan peribadi.
Mohd Na'im, yang hadir ke rumah pangsa Zaiton di Bukit Indah, Ampang di sini, sempat membuat panggilan video bersama penyanyi veteran itu dan bertanya khabar mengenai kesihatan beliau susulan keberadaannya di Melaka.
"Saya harap sumbangan ini dapat mengurangkan kesusahan beliau dan dapat guna wang ini untuk perbelanjaan. Kita doakan semoga beliau diberikan kesihatan baik dan kembali sihat walafiat.
"Kami daripada agensi agama akan terus menyahut gagasan kerajaan melalui program Prihatin MADANI dan memberi bantuan kepada golongan asnaf yang memerlukan," katanya kepada pemberita selepas menyerahkan bantuan itu.
Ahli keluarga angkat penyanyi itu, Ramlah Awang, 53, pula menzahirkan rasa syukur atas sumbangan tersebut kerana Zaiton kini hanya bergantung kepada bantuan daripada pelbagai pihak.
"Ini dapat membantunya dari segi perbelanjaan harian kerana beliau sebatang kara. Beliau hanya bergantung kepada persembahan di majlis kenduri kahwin dan hari jadi. Adalah dalam RM500 hingga RM1,000 jika lokasinya jauh.
"Keadaan beliau sekarang baik cuma apabila berjalan sedikit terhincut-hincut kerana enam bulan lepas, beliau terjatuh di dalam lif tapi semakin pulih. Sebelum ini, perlu dukung dan pakai lampin pakai buang," katanya kepada pemberita.
Baru-baru ini, Zaiton dilapor memohon bantuan kewangan kerana hidup sebatang kara dan terpaksa menumpang di rumah anak angkatnya serta kurang mendapat tawaran menyanyi.
Zaiton mengalami kemalangan jalan raya di Batang Kali, Selangor pada 1990, mengakibatkan anak tunggalnya, Azirwan Abu Bakar yang ketika itu berusia 13 tahun meninggal dunia manakala beliau mengalami hilang ingatan sementara.
Prihatin MADANI merupakan inisiatif penting yang dilaksanakan kerajaan dalam usaha memastikan nasib golongan memerlukan terutama asnaf dan anak yatim mendapat perhatian serta bantuan terbaik.
-- BERNAMA
#Zaiton Sameon #bantuan #Prihatin MADANI #penyanyi popular era 1980-an
;