'Kepala rasa nak pecah, ada ketulan darah beku' - Saleem masuk hospital

Gempak
Februari 25, 2018 09:07 MYT
Keadaan penyanyi Saleem, 56 tahun, kini dilaporkan stabil selepas dimasukkan ke hospital kerana mengalami sakit kepala kronik.
Keadaan penyanyi Saleem, 56 tahun, kini dilaporkan stabil selepas dimasukkan ke hospital kerana mengalami sakit kepala kronik.
Saleem menerima rawatan di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), di sini, sejak Rabu lalu.
Menurut Saleem dia tidak berniat untuk menyembunyikan kesakitan yang dialami kerana menganggap ia hanya sakit kepala biasa akibat tidak cukup rehat.
"Saya akui terlalu sibuk dengan undangan persembahan dan kerap berulang-alik ke Sabah, sejak akhir-akhir ini.
“Saya baru saja pulang ke ibu kota selepas hampir dua minggu mengikuti siri jelajah ke kawasan pedalaman di Sabah. Ia antara punca saya kurang rehat.
"Pada mulanya saya tidak menghiraukan sakit kepala ini, biarpun seumur hidup tak pernah mengalami kesakitan sebegini. Kepala saya rasa macam hendak pecah.
"Bagaimanapun, isteri berasakan ada sesuatu yang tidak kena apabila saya hampir kemalangan ketika memandu kereta.
“Lebih menambah kerisauan apabila dia melihat keadaan saya seperti lemah dan tidak bermaya ketika itu," katanya kepada BH Online.
Tambah Saleem lagi, tindakan pantas isterinya Juriah @ Julia Bachok menghantarnya ke hospital telah menyelamatkan dirinya.
"Pemeriksaan doktor mendapati ada ketulan darah beku di kepala kerana kekurangan oksigen," katanya.
Penyanyi kelahiran Setiu, Terengganu itu akui terkejut apabila dimaklumkan oleh doktor mengenai keadaannya.
"Saya takut jika ada ketumbuhan, kanser atau penyakit kronik lain. Bagaimanapun, ketulan darah beku itu timbul kerana kekurangan oksigen.
“Alhamdulillah, saya kini berasa lebih sihat dan tidak lagi sakit selepas diberikan oksigen serta ubat.
"Doktor turut menasihatkan saya berehat di hospital dulu supaya badan benar-benar mendapat oksigen mencukupi," katanya yang akan kembali sibuk dengan siri jelajah di Sabah selama sebulan, April depan.
#Hospital #Julia Bachok #ketulan darah beku #sakit kepala kronik #Saleem
;