Kendrick Lamar, Taylor Swift dahului pencalonan Anugerah Grammy 2016

Madiha Abdullah
Disember 8, 2015 14:22 MYT
Swift meneruskan kecemerlangan dengan tujuh pencalonan Anugerah Grammy.
Pencalonan Anugerah Grammy 2016 telah pun dikeluarkan awal pagi tadi. Ketika beberapa nama menerima pencalonan seperti yang dijangka, ada beberapa nama besar menerima kejutan apabila gagal mendapat sebarang pencalonan.
Penyanyi hip hop, Kendrick Lamar mendahului senarai pencalonan dengan 11 pencalonan, termasuk Lagu dan Album Terbaik. Ini diikuti Taylor Swift dan The Weeknd dengan tujuh pencalonan.
Kategori persembahan vokal pop terbaik pula bakal menyaksikan persaingan antara Kelly Clarkson, Taylor Swift, Ellie Goulding, Ed Sheeran dan The Weeknd.
Pun begitu, beberapa nama besar gagal menempatkan diri dalam senarai calon akhir bagi mana-mana kategori, antaranya Madonna dan Prince. Nasib yang sama juga menimpa penyanyi hip hop Drake, apabila lagu Hotline Bling, yang disifatkan antara lagu paling popular tahun ini, tidak menerima sebarang pencalonan.
Anugerah Grammy, yang diiktiraf sebagai anugerah muzik paling berprestij di dunia, bakal berlangsung di Los Angeles, 15 Februari depan.
#Anugerah Grammy 2016 #hiburan #Kendrick Lamar #muzik #Taylor Swift #The Weeknd.
;