Kenapa bintang K-pop sering dilanda kemurungan?

Afza Fahmidah
Disember 21, 2017 18:36 MYT
Kematian bintang K-pop kumpulan SHINee, Kim Jong Hyun, membawa perhatian orang ramai tentang penyakit mental yang sering dialami bintang K-pop oleh sebab populariti dan topeng identiti yang harus mereka paparkan kepada masyarakat.
SUDAH berdekad lamanya bintang K-pop menjadi pujaan dan kegilaan ramai dek kehidupan mereka yang glamor dan mewah dalam industri hiburan.
Namun sebuah nota yang ditinggalkan oleh penyanyi kumpulan SHINee yang meninggal dunia pada Isnin memaparkan keperitan hidup mereka yang sentiasa menjadi perhatian umum.
Ini membawa perhatian kritikal kepada industri multi-bilion tersebut yang mana ramai di kalangan artisnya dilanda kemurungan.
Dalam notanya, Jonghyun menulis, “Aku merana dari dalam. Kemurungan yang aku hadapi telah memakan diri dan aku tak dapat lawan lagi.”
Rasa yakin dan senyuman yang dipaparkan di atas pentas hanya topeng semata-mata bagi ramai artis K-pop termasuk Jonghyun yang telah mendedahkan tentang tekanan dan kemurungan yang mereka hadapi kepada umum.
Dalam sebuah rancangan televisyen tempatan, Jonghyun berkata sukar baginya untuk meluahkan rasa takut tentang penghakiman orang awam terhadapnya.
Malah dia tidak punya tempat bergantung.
Dalam pada itu, penyanyi Park Choa daripada kumpulan AOA telah meninggalkan kumpulannya kerana telah lama mengalami masalah kemurungan dan insomnia.
Penyanyi Hani daripada kumpulan EXID juga pernah mengatakan yang dia sedang merancang untuk menjadi seorang kaunselor kesihatan mental dengan niat ingin membantu rakan-rakan artis yang menghidapi penyakit tersebut.
Kajian menunjukkan bahawa selebriti yang bergantung pada perhatian umum berisiko tinggi untuk mengalami kemurungan.
Pakar psikiatri Kim Byung-soo di Pusat Perubatan Asan di Seoul yang pernah merawat beberapa pesakit selebriti berkata, keadaan emosi yang tidak stabil dan kehilangan identiti sendiri adalah antara sebab selebriti K-pop dilanda kemurungan.
“Kajian psikologi menunjukkan bahawa selebriti yang terlibat dalam kegiatan kreatif dan artistik lebih terdedah kepada risiko kemurungan berbanding orang lain.
“Mereka yang bekerjaya dalam bidang hiburan lebih terdedah kepada ketidakstabilan perasaan dan emosi,” kata beliau.
Kim juga menekankan bahawa selebriti sering kali mengalami personaliti berbeza yang terbahagi kepada identiti 'sosial' dan 'sebenar'.
Selebriti boleh 'kehilangan' diri mereka yang sebenar dan bergantung sepenuhnya kepada identiti 'sosial' jika jurang antara kedua-dua identiti ini menjadi luas.
Ini boleh diburukkan lagi dengan kenaikan ego 'sosial' mereka yang bersuapkan populariti, lantas lebih merosakkan diri mereka, menurut Kim.
Beberapa artis K-pop seperti Jonghyun, T-ara’s Jiyeon dan Minah of Girls’ Day pernah meluahkan perasaan kehilangan identiti sebenar mereka dalam usaha menyedarkan masyarakat tentang hal ini.
Satu lagi langkah yang menyebabkan kemurungan ialah pengasingan diri yang menurut Kim merupakan cara yang boleh merosakkan segala usaha untuk mendapatkan kembali diri sebenar seseorang itu.
“Menjadi seorang selebriti adalah seperti menyeberang sungai. Seseorang itu tidak dapat berpaling arah.
"Ada yang menyangka selebriti selalu dikerumuni orang ramai, namun sebenarnya hubungan peribadi mereka sangatlah sempit dan terhad.”
"Sangat sukar untuk mereka menjalinkan kehubungan serius dengan orang lain kerana mereka akan menjadi defensif dengan persepsi orang lain yang dianggap menyukai mereka sebab paras rupa dan reputasi sahaja.
"Hal ini menyebabkan mereka sunyi dan terpisah daripada kawan rapat dan keluarga,” tambah Kim lagi.
Pakar psikiatri Park Sang-hee dari Pusat Kaunseling Sharon di Seoul yang pernah menyertai sebuah kugiran wanita pada era 90-an juga memberi pandangan bahawa artis popular sering terjebak dalam kemurungan kerana kehidupan yang tidak stabil dan terasing.
Menurut beliau, ramai artis popular yang mengalami kemurungan tidak mahu berjumpa pakar secara terbuka kerana takut dikenali ramai.
Bagaimanapun, terdapat segelintir agensi K-pop besar yang menyediakan perkhidmatan kaunseling untuk artis mereka.
“Kami (doktor) tidak dapat mengecam pesakit dan ada selebriti yang berjumpa doktor secara senyap namun masih ramai lagi yang menyembunyikan penyakit mental mereka,” ujar Park lagi.
Seorang pengurus artis K-pop pula memberitahu, adalah sukar bagi mereka untuk melindungi artis daripada tekanan perasaan walaupun mereka telah cuba mengawal keadaan sebaik mungkin.
“Kami cuba menenangkan mereka setiap kali mereka kelihatan murung tetapi sukar.
"Terdapat persepsi bahawa mereka terlalu sibuk untuk membaca komen netizen tetapi pada hakikatnya, mereka baca.
"Mereka tidak dapat lari daripada hakikat ini,” ujar pengurus tersebut.
#depression #hiburan #K-pop #Kemurungan #kesihatan #kesihatan mental #Kim Jong Hyun #penyakit mental #perubatan #selebriti #Shinee
;