Kenapa anak seni selalu dipinggirkan? Semak semula SOP PKP 2.0 - Fauziah Nawi

Astro Awani
Februari 11, 2021 08:54 MYT
Fauziah berkata, SOP yang sedia ada sebelum ini lebih praktikal untuk dilaksanakan dan hanya memerlukan sedikit penambahbaikan. - Foto Instagram/@fauziahnawi
KUALA LUMPUR: Pengarah dan pelakon, Fauziah Nawi berharap kerajaan dapat melihat semula prosedur operasi standard (SOP) untuk membolehkan industri kreatif kembali bernafas.
Ini kerana SOP yang baru diumumkan beberapa hari lalu menimbulkan banyak persoalan dan hanya membenarkan beberapa pihak sahaja diberi peluang atau ditawarkan bekerja.
"Dalam situasi pandemik ini, tak ada sesiapa pun yang bersedia menghadapinya apatah lagi kami orang seni, sebab kami dibayar gaji mengikut kontrak. Jadi bila jadi begini, kami paling teruk terpukul.
"SOP yang dikeluarkan baru-baru ini, banyak kami boleh persoalkan. Sebagai contoh penggambaran dijalankan dalam tempat tertutup. Ini memerlukan studio yang baik tetapi kita tak ada kemudahan sedemikian.
"Kualiti juga akan terjejas kerana bukan semua boleh diberi peluang bekerja, hanya beberapa orang sahaja,' katanya ketika muncul dalam Buletin AWANI, pagi ini.
Hiburan: Industri kreatif tanah air semakin nazak?
Tambah Fauziah, SOP yang sedia ada sebelum ini lebih praktikal untuk dilaksanakan dan hanya memerlukan sedikit penambahbaikan.
"Kerajaan kena kaji balik SOP. Kenapa tidak guna sahaja SOP sebelum ini? Itu sudah bagus cuma mungkin kena ditambah baik sedikit sahaja.
"Saya berharap kerajaan dan pihak-pihak berkenaan dapat duduk semeja dan membincangkan satu penyelesaian berkenaan isu ini.
"Kenapa kami selalu dipinggirkan apabila berlaku situasi sebegini? Kami cuma minta agar dibenarkan bekerja, dengan SOP, dengan kadar segera," ujarnya.
Terdahulu pada Rabu, Fauziah bersama beberapa lagi penggiat seni diberi peluang hadir ke Istana Negara dan mengadakan perbincangan bersama Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin.
BACA: "Orang macam kami, ada kerja, ada gaji, tiada kerja, tiada gaji" - Fauziah Nawi
Hasil perbincangan berkaitan isu dan keadaan semasa penggiat seni kreatif itu akan disampaikan kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
#COVID-19 #PKP #SOP #Fauziah Nawi #industri kreatif #gaji #kontrak
;