Kenangan manis jadi 'waiter' abadi dalam ingatan Siti Nurhaliza

Asyraf Roslan
Mei 25, 2020 10:00 MYT
Bagi pelantun lagu Air Mata Syawal, antara momen yang tidak mungkin beliau lupakan sepanjang menjadi anak seni ialah apabila menerima kunjungan peminat hampir 4,000 orang di kampung halamannya - Foto Instagram/@ctdk
SELAMA 24 tahun berada dalam industri seni tanah air, sudah pasti banyak kenangan pahit manis yang dilalui oleh penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin.
Bagi pelantun lagu "Air Mata Syawal", antara momen yang tidak mungkin beliau lupakan sepanjang menjadi anak seni adalah apabila menerima kunjungan peminat hampir 4,000 orang di kampung halamannya di Kuala Lipis, Pahang.
"Momen ini semasa saya mula-mula nak naik sebagai penyanyi.
"Saya beraya di Kuala Lipis dan tetamu yang datang hampir 4,000 orang.
"Mak saya terus masak mihun untuk tetamu yang hadir dan saya sendiri jadi waiter untuk melayan semua tetamu yang hadir," katanya kepada Astro AWANI.
Baginya, itu antara momen yang tidak mungkin beliau lupakan sepanjang bergelar anak seni.
Pada masa sama, Siti Nurhaliza juga berkongsi lagu raya kegemarannya. Menurut Siti, lagu "Sesuci Lebaran" ciptaan Allahyarham Pak Ngah menjadi pilihannya.
"Dalam banyak-banyak lagu raya, saya tak boleh menafikan lagu pertama raya yang saya nyanyikan ciptaan Pak Ngah Suhaimi iaitu Sesuci Lebaran kerana apa lagu tu jadi lagu evergreen sampai sekarang,"
"Lagu itu sangat kena dengan lenggok Melayunya. Ciptaan Pak Ngah Suhaimi ni selalu berbisalah.
"Liriknya menggambarkan kita orang Malaysia, adab sopan, membantu antara satu sama lain," kongsi Siti Nurhaliza.
#Astro Awani #Datuk Seri Siti Nurhaliza #Gala Aidilfitri #Hari Raya Aidilfitiri #Indahkan Senyuman #Sebarkan Senyuman #Sesuci Lebaran #syawal
;