Kementerian Komunikasi mahu fokus kembangkan industri perfileman ke Asia Tenggara
Bernama
Mei 9, 2024 08:00 MYT
Mei 9, 2024 08:00 MYT
KUALA LUMPUR: Kementerian Komunikasi akan memberi fokus kepada usaha mengembangkan industri perfileman Malaysia ke pasaran Asia Tenggara sebelum melangkah ke peringkat yang lebih jauh.
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata berdasarkan pemerhatian beliau, industri perfileman Asia Tenggara juga mempunyai potensi yang besar berdasarkan jumlah penduduk di rantau ini.
"Bukankah lebih baik sekiranya filem Malaysia dapat ditayangkan di Asia Tenggara. Malaysia mempunyai 33 juta rakyat... yang tengok filem 10 hingga 12 juta.
"Cuba bayangkan filem kita dapat bawa ke Asia Tenggara yang jumlah penduduknya 660 juta dan saya rasa ia pasaran yang besar. Kita juga ingin menonton filem-filem lain di rantau ini dan ini mungkin kita katakan Road To Asean," katanya kepada pemberita sebelum tayangan khas filem Sheriff: Narko Integriti di sini, Rabu malam.
Justeru, beliau berkata bagi merealisasikan impian itu, pihaknya akan meneliti semula Dana Kandungan Digital bagi membangunkan industri perfileman negara.
Fahmi juga berkata Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) sudah diarah untuk mengadakan pertemuan dengan rakan strategiknya di rantau ini.
Beliau berkata ini termasuk pertemuan dengan pengedar filem serta mengundang penceramah supaya usaha dan ikhtiar kerajaan ke arah ASEAN Cinema tercapai.
"Harapan saya sebelum hujung tahun kita dapat jemput semua sebelum Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN.
"Perkara positif dan yang baik hasil perbincangan itu kita akan ketengahkan dalam konteks ASEAN," katanya.
-- BERNAMA