Kemenangan Michelle Yeoh cetus harapan cipta sejarah di Oscar
Agensi
Januari 11, 2023 20:00 MYT
Januari 11, 2023 20:00 MYT
ANUGERAH Pelakon Wanita Terbaik yang dimenangi Tan Sri Michelle Yeoh di Anugerah Golden Globe mencetuskan harapan bahawa bintang kelahiran Ipoh, Perak itu akan menjadi pelakon pertama Asia memenangi Anugerah Akademi atau Oscar bagi kategori pelakon wanita utama.
Yeoh memenangi anugerah itu untuk peranannya dalam filem komedi sci-fi, Everything Everywhere All At Once.
"Ia adalah satu perjalanan yang menakjubkan dan perjuangan yang luar biasa untuk berada di sini hari ini.
"Saya masih ingat ketika saya mula-mula datang ke Hollywood. Ia adalah impian yang menjadi kenyataan sehingga saya tiba di sini, kerana, lihat wajah ini. Saya datang ke sini dan diberitahu, 'anda golongan minoriti'," katanya ketika dalam ucapan selepas menerima trofi berkenaan.
Kemenangannya diraikan seluruh komuniti Asia, dengan ramai menyifatkan ia kemenangan yang wajar dan meluahkan impian untuk melihatnya menang trofi Oscar pula.
Bintang berusia 60 tahun itu memainkan watak Evelyn Wang, seorang pendatang berbangsa Cina yang gagal dalam perniagaan kedai dobi.
Yeoh menewaskan Lesley Manville, Margot Robbie, Anya Taylor-Joy dan Emma Thompson untuk anugerah itu.
Beliau merupakan pelakon Asia kedua yang memenangi anugerah tersebut, selepas Awkwafina pada 2020 untuk filem The Farewell.
Jika berjaya memenangi Oscar, Yeoh akan menjadi pelakon Asia pertama yang memenangi anugerah pelakon utama terbaik.
Pencalonan untuk Anugerah Akademi ke-95 akan diumumkan tidak lama lagi, manakala majlis anugerah akan diadakan pada bulan Mac.
Sebelum ini, pemenang Oscar dari Asia termasuk Bong Joon-Ho, yang dinobatkan sebagai pengarah terbaik untuk Parasite, diikuti Chloe Zhao yang dinobatkan sebagai pengarah terbaik untuk Nomadland, manakala Youn Yuh-jung memenangi Pelakon Pembantu Wanita Terbaik untuk Minari.