Kemenangan di Eurovision beri semangat moral kepada Ukraine

Agensi
Mei 15, 2022 18:30 MYT
Lagu Stefania nyanyian Kalush memenangi Eurovision tahun ini. - Gambar AP
TURIN: Tentera Ukraine sedang berjuang melawan serangan Rusia di timur negara itu pada Ahad, ketika kemenangan artis mereka di pertandingan Eurovision Song Contest memberikan rangsangan semangat yang amat diperlukan.
Ketika konflik yang telah menyebabkan jutaan penduduk kehilangan tempat tinggal kini masuk bulan ketiga, lagu rap menggabungkan irama folk dan hip-hop moden yang dipersembahkan band Ukraine, Kalush, dipilih memenangi pertandingan lagu tahunan terbesar Eropah itu.
Lagu berjudul Stefania itu ditulis oleh vokalisnya, Oleh Psiuk sebelum perang melanda dan didedikasikan buat ibunya, namun liriknya diterjemahkan secara melankolik susulan konflik berkenaan.
"Tolong bantu Ukraine dan Mariupol! Bantu Azovstal sekarang juga," kata Psiuk dalam bahasa Inggeris selepas membuat persembahan, merujuk kepada bandar pelabuhan bawah tanah di mana askar Ukraine dikepung oleh tentera Rusia.
Peserta Rusia tidak dibenarkan bertanding pada edisi kali ini.
Presiden Ukraine, Volodymr Zelensky, memberi amaran pada hari Sabtu bahawa perang di negaranya berisiko mencetuskan krisis makanan global, sambil menambah bahawa situasi di Donbas di Ukraine adalah 'sangat sukar'.
Rusia yang menceroboh Ukraine pada 24 Februari lalu kini menumpukan perhatiannya ke timur negara itu sejak akhir Mac, selepas gagal menawan ibu kota Kyiv.
#Eurovision #Ukraine #Rusia #Kalush
;