Kembara kembali dengan 'Konsert Panorama Jingga: 1444 Hijrah'

Irwan Muhammad Zain
Julai 3, 2022 08:00 MYT
Konsert Panorama Jingga: 1444 Hijrah disifatkan akan mengubat rindu peminat Kembara di zaman 1980-an dan memberi peluang kepada generasi baru untuk mengenali muzik kumpulan itu dengan lebih akrab. - Gambar ihsan Shiraz Projects Sdn Bhd
PADA era tahun 1980-an, ketika ibu kota Kuala Lumpur melihat terdirinya bangunan tinggi yang dinamakan Dayabumi, kebanyakkan anak muda waktu itu juga begitu terpesona dengan kumpulan Kembara.
Semangat perjuangan dan kerakyatan yang ditampilkan dalam lagu-lagu Kembara membuatkan kalangan anak muda meminati kumpulan ini.
Bagi mengembalikan nostalgia dan semangat era 1980-an, Kembara sekali lagi hadir dengan sebuah konsert berskala besar selepas 10 tahun lalu kembali bersatu di Konsert Ekspress Rakyat di Singapura.
Di Kuala Lumpur, konsert Reunion Kembara ini diadakan di Istana Budaya pada 2014.
Selepas lapan tahun serta tertangguh selama dua tahun akibat pandemik COVID-19, kumpulan yang pernah mencipta fenomena golongan anak muda tahun 80-an ini kembali bergabung.
Kembara bukan sebarang kumpulan. Ketika kebanyakan artis rakaman muncul dengan album lagu-lagu pop balada, Kembara hadir dengan lagu-lagu folks dan progressive rock.
Bercerita tentang konsert yang bakal diadakan pada 31 Julai nanti di Dewan Plenary, KLCC, teraju utama Kembara, Datuk M.Nasir menganggap konsert ini sesuai dengan gelombang pemikiran masa kini.
"Kembara yang kumpulan ini lahir di zaman Dayabumi didirikan dan gelombang kerakyatan serta politik pada waktu itu.
"Kita lahir pada era itu jadi bagi kita sesuai untuk kembalikan nostalgia itu dan mungkin ada persamaan dengan gelombang pemikiran orang pada masa kini," katanya ketika ditemui pada sesi fotografi di Pasar Seni di ibu kota baru-baru ini.
Dengan tujuh album sewaktu aktif pada tahun 1981 hingga album terakhir pada 1986, kumpulan ini mempunyai himpunan lagu-lagu yang menjadi siulan peminat setianya.
Pemain gitar serta penyanyi Kembara, Zoul pula sangat teruja untuk memperdengarkan lagu-lagu kumpulan ini yang jarang didendangkan di mana-mana konsert sebelum ini.
"Lagu-lagu itu dirakamkan lebih 30 tahun mungkin 38 tahun lepas. Bila kita semak kembali senarai atau himpunan lagu yang ada, kita rasa ada lagu yang sebenarnya sepatutnya dinyanyikan ketika konsert reunion sebelum ini.
"Jadi kita pilih lagu-lagu itu dan berlatih. Saya sangat teruja dengan pemilihan lagu-lagu itu sebab mahu perdengarkan kepada peminat setia Kembara dari awal album pertama hingga yang ketujuh," katanya.
Bagi Ketua Pengarah Eksekutif Shiraz Projects Shirazdeen Karim selaku penganjur konsert "Kembara Panorama Jingga: 1444 Hijrah", sudah lama pihaknya mengimpikan bekerjasama dengan kumpulan yang terkenal dengan lagu-lagu seperti "Hati Emas" dan "Ekspres Rakyat".
"Semua orang tahu Datuk M.Nasir mula melonjak naik dengan Kembara dan ramai kalangan peminat muzik tempatan yang membesar dengan lagu-lagu Kembara.
"Jadi saya rasa konsert ini akan jadi flashback zaman mereka muda dan zaman mereka baru mahu naik dalam kehidupan," katanya.
Konsert "Kembara Panorama Jingga: 1444 Hijrah" merupakan konsert satu malam sahaja ini dan dianjurkan oleh Shiraz Projects Sdn Bhd.
Peminat Kembara boleh mendapatkan tiket-tiket berharga RM860 (Meet and Greet), RM460 (Diamond), RM360 (Platinum), RM260 (Gold), RM200 (Silver) dan RM160 (Bronze) yang boleh dibeli di www.myticket.asia.
Dijadual bermula pada pukul 8.30 malam, konsert yang menghimpunkan tenaga dan kehebatan M.Nasir sebagai vokalis, Zoul (gitar utama, vokal), Rahman Suri (bass), Shahrum Basiron (dram) dan Md Shah Othman (keyboard) itu akan membawa penonton ke suatu dimensi masa bersama lagu-lagu berjiwa besar mereka.
"Konsert Panorama Jingga: 1444 Hijrah" ini bakal mengubat rindu peminat Kembara di zaman 1980-an dan memberi peluang kepada generasi baharu untuk mengenali muzik kumpulan itu dengan lebih akrab.
#kembara #M Nasir #Zoul #Shahrum Basiron #Rahman Suri #Md Shah Othman #Panoram Jingga 1444 Hijrah #Shiraz Projects
;