Kembali selepas empat tahun, kumpulan Blue pukau 2,000 penonton

Faida Rahim
Februari 11, 2023 09:00 MYT
Persembahan Blue turut diserikan dengan rangkaian lagu hit mereka antaranya You Make Me Wanna, Guilty, Breathe Easy, dan Fly By.-Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Kembali ke Kuala Lumpur selepas empat tahun, persembahan kumpulan pop kelahiran Britain, Blue berjaya memukau lebih 2,000 penonton di konsert ulang tahun ke-20 Heart & Soul Tour di Dewan Plenary KLCC, malam tadi.
Memulakan persembahan dengan lagu hit Sorry Seems To Be The Hardest Word, kemunculan Blue tepat jam 8.45 malam disambut jeritan penonton yang hadir.
Dalam interaksi pertama bersama peminat yang hadir malam tadi, Simon Webbe, Lee Ryan, Duncan James dan Antony Costa menyampaikan rasa teruja kerana dapat kembali membuat persembahan di Malaysia.
Mereka turut menzahirkan penghargaan kepada peminat yang tidak jemu menyokong sejak 20 tahun lalu.
“Selepas Singapura, kami berada di sini. Anda (penonton) yang hadir pada malam ini benar-benar hebat,” kata Simon.
Dalam pada itu, penyanyi Dafi Ismail Sabri yang ditemui di konsert malam tadi meluahkan rasa teruja apabila dapat kembali menyaksikan persembahan kumpulan Blue buat kali kedua.
“Saya hadir di konsert mereka kali terakhir mereka datang ke sini pada 2019. I really had a good time. Sebab tu saya datang lagi kali ini.
“Walaupun persembahan terakhir mereka di Dewan Wawasan Convention & Exhibition Centre, Menara PGRM Cheras sebelum pandemik, masa tu Lee tak berapa sihat tetapi persembahan tetap tip top,” katanya kepada Astro AWANI.
Persembahan Blue turut diserikan dengan rangkaian lagu hit antaranya You Make Me Wanna, Guilty, Breathe Easy, Fly By dan banyak lagi.
Mereka mengakhiri persembahan dengan lagu hit yang menerima sambutan luar biasa, All Rise diikuti One Love.
#Kumpulan Blue #BLUE IN KL #konsert ulang tahun ke 20 Heart & Soul Tour #Dewan Plenary KLCC
;