Kembali kepada Tuhan, hadir sesuatu yang berharga dalam kehidupan - Aliff Aziz

Raja Hisyam Raja Zaid
Disember 4, 2021 12:00 MYT
Alif Aziz lebih yakin dan tenang dalam mencari erti kehidupan ketika ini.
KUALA LUMPUR: Bercerita tentang sosok artis ini, mungkin tidak siapa mampu menjangka perjalanan hidupnya yang terpaksa menempuh pelbagai liku dan duri.
Namun, dalam kehidupan, manusia itu tetaplah insan yang tidak akan sunyi daripada kesilapan.
Apa yang penting bukan bagaimana ia bermula, namun di mana penghujung kehidupan seseorang itu berakhir.
Selepas melalui tribulasi perjalanan yang banyak memberi pengalaman, Aliff Aziz kini bangkit dengan semangat baharu, lebih yakin dan tenang berbanding sebelumnya.
Ketika dia benar-benar menyerahkan aturan hidupnya kepada Yang Maha Esa, ternyata tekadnya itu dijawab dengan peluang mengangkat semula namanya yang pernah tercalar itu, kembali bersinar.
Dua minggu menguasai pentas Gegar Vaganza (GV) musim kelapan terbitan Astro, penyanyi berasal dari Singapura itu mempesona penonton dengan auranya yang tersendiri.
“Melihat kembali kehidupan saya sebelum ini, selama ini saya mencari ketenangan pada tempat yang salah. Baru sekarang sedar dan ini nasihat untuk diri Alif sendiri dan bukan untuk siapa-siapa.
"Hati ini begitu tenang apabila setiap kali mengingat Allah sebenarnya," katanya dalam pertemuan eksklusif bersama Astro AWANI.
Bercakap mengenai perkembangannya di pentas GV pula, bapa kepada Mohamad Ayden Adrean dan Ara Adreanna ini tidak menyangka namanya mampu terpahat di tangga teratas carta selama dua minggu memandangkan saingan yang ada bukanlah calang-calang hebatnya.
“Aliff masuk ni adalah untuk lepaskan perasaan... yang dah lama tak buat persembahan. Setiap kali naik ke atas pentas, perkara paling penting adalah kita buat persembahan dengan ikhlas dengan harapan ia akan menghiburkan para penonton. Itu sahaja.
“Aliff tak pernahpun fikir untuk sama ada dapat nombor satu, nombor dua ke. Ini adalah rezeki masing-masing sebab semua yang masuk dalam GV ni adalah penyanyi profesional dan mereka mempunyai pelbagai keistimewaan untuk setiap persembahan mereka," katanya.
Kejayaan di pentas itu juga tidak hanya dirasainya, malah turut dikongsi oleh keluarga yang kini berada di seberang tambak, yang mempunyai dua sebab untuk bersyukur.
Pertama adalah perubahan diri dan kehidupan Aliff sendiri dan yang kedua, tentunya kejayaan penyanyi itu di pentas GV.
Sebetulnya, sudah setahun rupanya penyanyi itu tidak bersua muka dengan keluarga tercinta.
Rasa kerinduan pada keluarganya nyata memang sukar dibendung dan tak terluah dek kata-kata.
“Tentunya kami semua sentiasa berhubung melalui telefon dan panggilan video, namun anak perempuan saya (Ara Adreanna) dan ibu bapa saya sampai sekarang tak pernah lagi berjumpa. Maksudnya dah setahun lebih (sejak Ara dilahirkan pada 18 Julai 2020).
“Sekarang ni nampaknya dah ada ruang yang membolehkan kita balik dan Insya-Allah mungkin dalam Februari tahun depan kami rancang untuk balik berjumpa dengan keluarga," katanya yang mahu selesaikan komitmennya dalam GV dahulu sebaik mungkin, sebelum pulang ke Singapura.
Dalam masa yang sama, Alif melihat pentas Gegar Vaganza yang diterbitkan oleh Astro ini merupakan satu platform yang sangat penting.
Menurutnya, program itu menjadi pentas untuk artis-artis yang mungkin tidak lagi bersinar seperti sebelumnya untuk kembali menjadi sebutan ramai.
Ia sudah pasti katanya akan sedikit sebanyak membantu golongan artis itu sendiri.
“Ia menggandingkan satu pentas untuk semua orang yang dah pernah ada dalam industri. Kita ni dah pernah ada kerjaya dan tentunya ada naik dan turun masing-masing, dan akhirnya kita diberikan peluang untuk kembali di atas pentas untuk beraksi.
“Jadi Alif rasa perjalanan kita dalam GV ni adalah pentas mengembalikan semula identiti diri dan harapnya selepas habis GV ini, kita akan menemui sesuatu yang baharu dalam diri sebagai artis," jelasnya menutup perbualan.
#Allah #Astro #Astro Awani #Singapura #video
;