Kembali dipanah cinta di Genting

Madiha Abdullah
Ogos 12, 2024 10:00 MYT
Memulakan persembahan dengan rangkaian medley Jerat Percintaan, Wajah Kekasih dan Dialah Di Hati, Siti Nurhaliza tampil bertenaga. - Gambar ihsan Resort World Genting
GENTING HIGHLANDS: RASANYA agak sukar untuk mencari seorang individu dari era 90-an, yang boleh mengatakan dengan penuh yakin bahawa seorang artis bernama Siti Nurhaliza tidak meninggalkan impak dalam hidupnya.
Sama ada peminat atau bukan, kehadiran gadis pingitan dari Kuala Lipis itu ke dalam industri seni tanah air pada tahun 1996, pasti meninggalkan sedikit kesan. Paling tidak, satu atau dua lagu beliau menjadi kegemaran atau pilihan untuk berkaraoke bersama keluarga atau sahabat handai.
Itu sahaja sudah cukup untuk menggambarkan betapa pengaruh beliau, yang kini bergelar Datuk Seri, bukan sesuatu yang biasa.
Sejarah penulis bersama Siti Nurhaliza agak panjang. Mula menjadi peminat beliau seawal kerjayanya sebagai penyanyi; membeli setiap album yang beliau hasilkan, mengumpul segala keratan majalah dan akhbar yang memaparkan cerita dan wajah manis beliau, menonton semua persembahannya di televisyen atau dalam talian.
Masa berjalan, waktu berganti. Life happens. Penulis akur dengan liku perjalanan yang menuntut perhatian diberi pada kehidupan sendiri. Sedikit demi sedikit, Siti akhirnya penulis ‘tinggalkan.’
Beberapa kali bertemu ketika menjalankan tugas, inilah kali pertama diberi peluang bertugas sambil menonton konsert beliau.
Konsert Siti Nurhaliza: Cinta Di Awan yang berlangsung di Genting Highlands pada hujung minggu lalu, membawa pengalaman penuh sentimental bukan sahaja untuk peminat tegar, malah untuk mereka yang melalui fasa yang sama seperti penulis - mencari cinta dan kembali pada cinta.
Dewan Arena of Stars Sabtu lalu dipenuhi dengan Sitizoners berpakaian mengikut tema merah jambu-putih-merah. Mereka datang dari seluruh Malaysia, tidak ketinggalan dari negara-negara jiran.
Pentas terhias indah berona ungu dan pink ketika pemuzik Leman Band mengambil tempat.
Kemunculan Siti dengan gaun berwarna shocking pink tepat jam 8.35 malam disambut sorakan yang bergema, telefon pintar serentak diangkat dan dihala ke pentas, merakam keterujaan.
Memulakan persembahan dengan rangkaian medley Jerat Percintaan, Wajah Kekasih dan Dialah Di Hati, Siti tampil bertenaga, suara dan muzik bersatu sempurna.
Tiga lagu itu merungkai tema cinta yang berbeza. Jerat Percintaan sebagai lagu pertama yang membawa peminat mengenalinya, Wajah Kekasih untuk si pemilik hati dan Dialah Di Hati nukilan untuk Sang Penguasa pemilik cinta sejati.
Sebagai individu yang sudah mengikuti perkembangan beliau sejak awal, rasanya penulis layak untuk mengatakan dengan yakin bahawa suara Siti yang dahulu - nyaring bergema, lembut tetapi solid - sudah kembali.
Menyambung nyanyian dengan rangkaian dua medley rancak dan balada, Siti langsung tidak menunjukkan tanda keletihan, baik dalam vokal mahu pun emosi - sesuatu yang sangat mengagumkan untuk seorang ibu dua anak di pertengahan usia 40-an, apa lagi untuk seorang penyanyi dengan senarai diskografi yang memerlukan kemahiran vokal tinggi.
Ada dalam senarai lagu yang disampaikan adalah lagu yang sudah biasa dinyanyikan, tetapi Siti dengan kehebatannya, mampu menjadikan seolah-olah kali pertama dipersembahkan.
Sukar untuk penulis memilih segmen kegemaran dalam senarai 38 lagu, termasuk medley, yang dinyanyikan Siti malam itu.
Jaga Dia Untukku menerima nuansa baharu di tangan pengarah muzik, Chaan. Lebih dramatik dan beremosi apabila ia dipersembahkan dengan visual paparan foto rakyat Palestin.
Siti is staying true to her cause. Apalah makna cinta setinggi awan jika doa untuk Palestin tidak terus dipanjatkan.
Hati siapa tidak tercuit apabila Siti memanggil ke pentas dua cinta hatinya, Siti Aafiyah dan Muhammad Afwa.
Afwa dengan keletahnya yang cheeky mengundang tawa penonton, manakala Aafiyah yang manis dengan gaun putih, nampak tenang bermain piano mengiringi persembahan ibunya menerusi lagu Nadi.
Lagu ciptaan Mim Hamzah dan Illi Diyana itu menterjemah luahan rasa seorang ibu, cinta agung yang memungkinkan segalanya.
Segmen karaoke beramai-ramai yang diperkenalkan dalam Konsert Sebuah Epitome: Saya Siti Nurhaliza Mac lalu kini sudah mencari acara wajib, namun kali ini ‘dinaik taraf’ menjadi live sing-along dengan iringan Leman Band.
Namun, pada pendapat penulis, Purnama Merindu kurang sesuai untuk segmen ini. Graf lagu yang turun naik, belum sampai separuh lagu sudah ramai yang semput.
Pemenang pingat emas pertandingan 'World Championships of Performing Arts' (WCOPA) ke-27, Ummi Umairah, yang juga anak saudara Siti, tampil sebagai artis undangan, berduet lagu berbahasa Mandarin, Zheng Fu dan sebuah lagu Inggeris, You Are The Reason.
Harus diakui Umairah punya vokal yang sangat baik, dan dengan usianya yang baru mencecah 13 tahun, masa depannya dilihat cerah.
Segmen lagu rock 90-an paling berbekas di minda penulis. Entah apa magis digunakan komposer dahulu, penulis yang introvert pun ikut menyanyi sepenuh hati.
Jiwa ‘leman’ rock 90-an sememangnya bukan Siti, tetapi beliau bijak mewarnakan lagu sehingga penyampaiannya tidak terdengar janggal ketika mempersembahkan lagu Tak Mungkin Berpaling (Slam), Bourgenvilla (Spring), Tiara (Kris) dan Hakikat Sebuah Cinta (Iklim).
Kredit juga untuk dua gitaris, Emy dan Ihzwan, yang nampak begitu enjoy ‘menggoreng’ instrumen masing-masing.
Penulis berharap pihak Siti akan mempertimbangkan mengadakan sebuah konsert khas yang didedikasikan khas untuk menyampaikan lagu-lagu dari penyanyi lain. Mungkin itu kelainan yang boleh dilakukan Siti dan pasukannya pada masa depan.
Selain suara ikoniknya, Siti juga mempamerkan keperibadiannya yang memikat hati - lembut dan pandai berjenaka.
Bukan sekali dua dewan bergema dengan gelak ketawa kerana kata-kata dan gelagatnya. Segmen nota cinta, di mana Siti membacakan nota cinta nukilan peminat terpilih, menjadi bukti betapa anak jati Pahang itu sangat selesa mendekati dan didekati peminat. Bicara dan jenakanya spontan tanpa dibuat-buat.
Seperti biasa, Siti juga tidak lepas dari mengimbau kenangan - bagaimana permulaan beliau menjadi penyanyi, serta deretan kenangan manisnya di Arena of Stars - menonjolkan sisinya merendah diri dan sentiasa berpijak di bumi.
Siti mungkin tidak akan diingati sebagai pencipta lagu terhebat, atau seorang artis yang sentiasa mendahului trend dan menjengah limitasi artistik, atau artis versatil yang mampu membina pelbagai repertoire kerjaya.
But she doesn’t need to be one.
Siti adalah penyanyi semula jadi. Tidak perlu sebarang teknik atau notasi tinggi, senjata utamanya adalah suara - sama ada dengan beberapa baris lagu Istana Menanti (Rahim Maarof) atau lagu Selamat Hari Jadi dalam rentak dangdut secara spontan - sudah mampu membuatkan semua terpesona.
Ramai penyanyi berbakat, tetapi tidak ramai yang diberikan anugerah. Siti Nurhaliza adalah salah seorang daripada sebilangan kecil yang istimewa itu.
Datanglah era sesiapapun, Siti Nurhaliza tidak perlu berada pada mana-mana nombor, tidak juga perlu pada sebarang gelaran.
Sebagaimana Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, Allahyarham Puan Sri Saloma, Allahyarham Datuk Sudirman dan Allahyarham Datuk Sharifah Aini - tempat mereka sudah terpahat.
Malam itu, tatkala lagu encore Destinasi Cinta tamat, penulis tersedar sesuatu.
Tidak ada istilah meninggalkan.
Once you love someone, a part of you will always love them.
#Siti Nurhaliza #konsert #cinta di awan #reviu konsert
;