Kematian juruteknik Volkswagen jadi bahan jenaka peminat Terminator
Shamil Hizamie
Julai 4, 2015 14:44 MYT
Julai 4, 2015 14:44 MYT
SEORANG juruteknik maut dalam satu insiden melibatkan sebuah robot di kilang Volkswagen di Kassel, Jerman pada Khamis lalu.
Mangsa berusia 21 tahun bersama seorang rakan sedang memasang robot di kilang Baunatal sebelum robot berkenaan menyerangnya di bahagian dada dan menghempasnya ke plat logam.
Insiden itu dikongsikan koresponden akhbar Financial Times Sarah O’Connor di akaun Twitter.
Namun dia sama sekali tidak menyangka kejadian itu akan dikaitkan dengan namanya yang hampir serupa dengan watak utama filem Terminator.
Sarah Connor adalah nama watak utama dalam dua filem pertama Terminator yang dilakonkan oleh Linda Hamilton.
Sarah menjadi sasaran robot dari masa depan iaitu T-800 atau ‘The Terminator’ yang dilakonkan Arnold Schwarzenegger.
Menurut mesin pembunuh itu, Sarah Connor bakal melahirkan seorang anak lelaki (John Connor) yang bakal menjadi ancaman kecerdasan buatan (artificial intelligence) pada masa hadapan yang dinamakan Skynet.
Jadi tidak hairanlah apabila wartawan yang namanya hampir sama dengan watak utama Terminator memuat naik berita berkenaan, dia terus mendapat perhatian para peminat siri tersebut.
Pelakon Thomas Dekker yang pernah memegang watak John Connor dalam siri televisyen, Terminator: The Sarah Connor Chronicles turut menyertai gurauan itu.
Sarah kemudiannya menyatakan rasa tidak selesa apabila kisah kematian juruteknik itu dijadikan bahan jenaka orang ramai.